KAJI selidik terkini Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mendedahkan ramai yang semakin yakin untuk melakukan perjalanan/pengembaraan dengan majoriti percaya mereka cenderung berbuat demikian sebaik saja selepas divaksinasi.

Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alexandre de Juniac berkata, kira-kira 57 peratus responden dijangka melakukan perjalanan dalam tempoh dua bulan pandemik itu dibendung sementara hampir 40 peratus melaporkan tekanan mental dan kehilangan komunikasi sebenar berikutan sekatan perjalanan.

“Sememangnya sudah jelas kita perlu belajar hidup dan mengembara dalam dunia yang ada Covid-19.

“Memandangkan ia membabitkan kos kesihatan, sosial dan ekonomi daripada sekatan perjalanan, syarikat penerbangan seharusnya bersedia untuk menghubungkan kembali dunia sebaik saja kerajaan dapat membuka kembali sempadan,” katanya dalam satu kenyataan.

De Juniac berkata, terdapat beberapa halangan dalam trend perjalanan dan kaji selidik menunjukkan sekitar 84 peratus pelancong tidak akan melakukan perjalanan sekiranya membabitkan kuarantin di tempat yang dituju.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19