RAKUTEN Trade Sdn Bhd (Rakuten Trade) mengingatkan orang ramai supaya tidak terdepaya dengan penipuan pelaburan menerusi platform dalam talian yang menggunakan nama Rakuten Trade.

Rakuten Trade dalam kenyataan hari ini berkata, pihak pengurusan dan lembaga pengarahnya memaklumkan bahawa Rakuten Trade adalah pemegang sah Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal Terhad yang dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Lesen yang dipegang sejak 27 April 2017 ini membenarkan kami menjalankan aktiviti perdagangan ekuiti dan menyediakan khidmat nasihat pelaburan sebagai broker berlesen.

“Kami juag tersenarai dalam Daftar Awam Pemegang Lesen SC,” katanya.

Berdasarkan paparan di media sosial, beberapa nama digunakan untuk mengelirukan pengguna termasuklah Rakuten Trading MY, Rakuden Malaysia, Rakuten Trade Online dan Rakuten Malaysia.

Menurutnya, Rakuten Trade menjalankan perniagaan yang sah dan pihaknya sedar terdapat individu dan syarikat menyalah gunakan nama Rakuten Trade dan mendakwa mereka mewakili syarikat dalam pelbagai penipuan pelaburan dalam talian.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak melayan dakwaan palsu itu dan kami tiada kaitan dengan pihak ini.

“Kami juga sudah membuat laporan mengenai individu dan syarikat terbabit kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selain memaparkan notis di laman web dan saluran media sosial kami,” katanya.

Menurutnya, Rakuten Trade ialah platform perdagangan ekuiti digital sepenuhnya yang pertama dan satu-satunya di Malaysia.

Semua urus niaga dijalankan terus oleh pelanggan menggunakan laman web rasmi Rakuten Trade, www.rakutentrade.my atau menerusi aplikasi perdagangan Jepun iSPEED.my.