Kuala Lumpur: Wasiyyah Shoppe Bhd, syarikat amanah patuh syariah mengumumkan rombakan Lembaga Pengarahnya dengan melantik Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman sebagai Pengerusinya yang baru berkuat kuasa 2 Februari 2021.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, pelantikan beliau dibuat susulan persaraan Datuk Ahmad Khairummuzammil Mohd Yusof pada Disember 2020.

Memulakan kerjaya di dalam bidang perbankan bersama Bank Bumiputera Malaysia Bhd Malaysia pada 1971, beliau berpengalaman selama 27 tahun di dalam sektor perbankan dengan jawatan terakhir beliau ialah sebagai Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad sebelum bersara pada 1998.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) dari 1998 sehingga 2013.

Kepakaran dan pengalaman beliau sebagai antara pelopor perbankan Islam di Malaysia diiktiraf apabila beliau dilantik pula sebagai ahli Majlis Pengawasan Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dari 2016 sehingga 2020.

Turut diumumkan adalah pelantikan ahli Lembaga Pengarah yang baru, Tan Sri Aziah Ali berkuat kuasa 1 Mac 2021.

Aziah berpengalaman luas selama 40 tahun di dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman Malaysia.

Beliau telah berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia di pelbagai jawatan perundangan dan kehakiman bermula dari tanggungjawab sebagai Penasihat undang-undang, Pesuruhjaya Kehakiman, Hakim Mahkamah Tinggi Sivil, Hakim Mahkamah Rayuan sehinggalah memegang tanggungjawab sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum bersara pada 2018.

Selepas bersara, beliau berkhidmat sebagai ahli Lembaga pengarah di beberapa syarikat senaraian awam sehingga kini.

Wasiyyah Shoppe berkata, ia yakin pelantikan kedua-dua tokoh yang berpengalaman luas di dalam perbankan Islam dan perundangan ini mampu memberi sumbangan signifikan kepada usaha pemantapan tahap tadbir urus korporat Syarikat serta membantu di dalam usaha memacu syarikat untuk terus kekal sebagai syarikat amanah patuh syariah peneraju di Malaysia.