BANTUAN kewangan kerajaan kepada syarikat penerbangan ketika menghadapi pandemik Covid-19 perlu disusun dengan teliti dan ia perlu menjadi pilihan terakhir, menurut badan kawal selia penerbangan tempatan, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Mavcom dalam kenyataan berkata, berdasarkan tekanan kepada sumber fiskal kerajaan, pengendali industri perlu menggunakan pilihan lain dahulu, termasuk bantuan daripada pemegang saham masing-masing.

Katanya, kerajaan hanya bertindak sebagai pilihan pemberi pinjaman terakhir untuk industri.

“Kerajaan juga perlu ingat bahawa matlamat dasar utamanya ialah mengekalkan hubungan udara yang penting (terutamanya laluan Obligasi Perkhidmatan Awam) dan melindungi pihak yang memerlukan sokongan seperti 50,000 pekerja dalam sektor penerbangan dan pengguna Malaysia, daripada meningkatkan prestasi komersial syarikat penerbangan,” katanya.

Mavcom berkata, daripada menyelamat sepenuhnya, ada lebih banyak pilihan sasaran yang mengurangkan risiko bahaya moral dan menyalurkan wang kepada penggunaan yang dicadangkan.

“Ia termasuk langkah pembiayaan yang diambil syarikat penerbangan untuk memerangi penularan Covid-19 seperti menjalankan proses nyah cemar penerbangan serta subsidi dan insentif kepada syarikat penerbangan untuk mengekalkan pekerja.

“Kerajaan boleh mengecualikan sementara waktu caj dikenakan seperti caj kawalan trafik udara, levi pelepasan lapangan terbang dan levi pembangunan industri,” katanya.

Menurutnya, mengenai dasar bukan fiskal dan respons kawal selia, Mavcom berkata, menjelaskan dan memberi kelonggaran kepada keperluan dasar berkaitan penerbangan yang tertentu seperti dasar pemilikan, juga dapat memberi kelegaan kepada syarikat penerbangan tanpa kos fiskal, berikutan ia akan membolehkan penggiat industri untuk mengakses pelbagai sumber pembiayaan daripada pasaran modal tempatan dan antarabangsa.

“Bagaimanapun, ia perlu menekankan kepentingan liberalisasi pemilikan untuk disertai dengan pengawasan kawal selia yang berkesan untuk memastikan peserta tidak menyalahgunakan hak liberalisasi mereka,” katanya.

Sementara itu, Mavcom berkata, ia menyedari bahawa pemegang saham sedang menilai pilihan mereka, mungkin mempertimbangkan pengukuhan industri melalui penggabungan, terutama ketika krisis seperti pandemik ini.