LEMBAGA Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berusaha menarik syarikat global terjejas akibat perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) – China, supaya memindahkan operasi mereka ke negara ini.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah itu penting bagi memacu dan menyuburkan semula ekonomi negara, sekali gus menjamin pemulihan ekonomi negara dengan lebih menyeluruh.

“Dengan perang perdagangan antara AS-China, banyak syarikat dan industri global yang sebelum ini menjadikan negara berkenaan sebagai pusat operasi mahu memindahkan operasi mereka ke rantau ini.

“MIDA kini sedang berusaha menarik minat syarikat dan industri global yang terjejas itu ke Malaysia sekali gus menggunakan negara ini sebagai hab mereka untuk tembusi negara ASEAN dan Asia yang lain.

“Walaupun pasca Covid-19 ini banyak negara lain juga sedang cuba menarik masuk pelaburan ke negara masing-masing, namun Malaysia mempunyai banyak kelebihan yang boleh ditawarkan.

“Ini termasuklah kestabilan politik, infrastruktur lebih baik terutama di Johor yang mempunyai tiga pelabuhan besar, kos yang lebih rendah selain tawaran tambah nilai termasuk polisi laluan hijau, kecekapan membuat keputusan serta kelulusan diberikan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat kilang Daiichi Seiko (M)Sdn Bhd, di Taman Teknologi Nusajaya, di Iskandar Puteri, hari ini.

April lalu, Azmin dilaporkan berkata, MIDA sudah memberikan khidmat fasiliti kepada 85 syarikat dari China dan juga dari negara lain untuk penempatan semula aktiviti ke Malaysia berikutan perang perdagangan AS-China.

Daripada jumlah itu, MIDA berjaya menarik sejumlah 32 projek dengan pelaburan berjumlah RM14.0 bilion, yang mana tujuh projek dengan pelaburan bernilai RM6.22 bilion, sedang dalam proses penilaian.