KEADAAN ekonomi yang perlahan kerana terjejas akibat pandemik Covid-19 menimbulkan beberapa spekulasi harga kediaman di Malaysia akan merosot.

Disebabkan kenyataan itu, terdapat individu mungkin teruja untuk mendapatkan kediaman yang diinginkan.

Namun, bukan semua jenis hartanah sesuai dimiliki dalam keadaan ekonomi Malaysia dan global tidak begitu meyakinkan.

Pelabur hartanah yang juga Pensyarah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, dalam keadaan pandemik Covid-19 yang masih bersisa ini, pembelian rumah yang dalam pembinaan sangat tidak digalakkan.

“Kita tidak tahu apa akan berlaku dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi. Adakah pemaju boleh beroperasi atau mungkin juga projek yang dibangunkan terbengkalai.

“Berdasarkan krisis ekonomi sekitar 1997 hingga 1998, lebih 500 pemaju jatuh muflis.

“Malah, berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), ada lebih 57,000 hartanah siap dan tidak terjual dengan nilai RM41.5 billion pada tahun lalu. Ini menunjukkan ketika ini waktu yang tidak sesuai untuk mendapatkan kediaman yang dalam proses pembinaan,” katanya ketika dihubungi Bisnes Metro.

Katanya, sekiranya ada individu yang tetap mahu mendapatkan kediaman, mereka boleh memilih kediaman dari pasaran sekunder.

“Rumah sekunder boleh didapati pada harga hingga 30 peratus di bawah nilai pasaran.

“Pastikan dapatkan pembiayaan yang menawarkan tempoh jangka panjang dengan jumlah pembiayaan maksimum.

“Ini kerana, ia akan membuatkan kita tidak terbeban dengan bayaran bulanan dan wang pendahuluan juga tidak terlalu tinggi,” katanya.

Sementara itu, menurutnya walaupun timbul spekulasi harga rumah akan merosot bermula tahun ini, ia tidak bermaksud semua orang boleh memiliki kediaman.

Katanya, apa yang paling penting dalam menentukan kemampuan seseorang memiliki kediaman adalah faktor kedudukan kewangan individu itu sendiri.

“Masa terbaik untuk membeli hartanah adalah apabila seseorang individu itu sudah bersedia khususnya dari segi kewangan kerana ia membabitkan komitmen hingga 30 tahun.

“Jika tawaran baik sekalipun, jika kita tidak bersedia kerana banyak hutang atau tiada pekerjaan stabil, tangguhkan saja hasrat membeli rumah.

“Selagi status kerja kita tidak stabil, jangan buat keputusan membeli rumah kerana kita takut jika apa-apa terjadi dan kita gagal bayar hutang, kediaman kita boleh dilelong.

“Jangan ghairah untuk membeli hartanah waktu gawat begini. Ia boleh jadi peluang yang baik untuk mereka yang bijak dan faham tujuan pelaburan. Ia juga boleh jadi ‘neraka wang’ jika kita salah membeli,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19