AZILAgLOW Collection optimis untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 50,000 helai tudung jenama UiNEE miliknya menjelang akhir tahun depan dengan sokongan pertambahan tukang jahit yang dirancang dilaksanakan secara berperingkat tidak lama lagi.

Pemiliknya, Nurazila Mohd Salleh berkata, meskipun produk berkenaan baharu saja dilancarkan akhir Julai lalu, sambutan terhadap tudung jenis sarung itu dalam tempoh kurang dua bulan ini cukup memberangsangkan malah di luar jangkaan.

Berbanding 1,000 helai dikeluarkan bagi kumpulan pertama produk itu, jelas beliau, kira-kira 2,000 helai lagi sudah ditambah setakat ini, malah permintaan terus meningkat meskipun di luar musim perayaan atau pembukaan sesi persekolahan.

“Apa yang UiNEE tawarkan bukan semata-mata tudung sarung, tetapi ia menggunakan fabrik premium jenis pure silk chiffon dengan lima saiz berbeza termasuk satu untuk kanak-kanak.

“Setakat ini, hanya lima tukang jahit diupah untuk tudung UiNEE yang masing-masing menjahit satu saiz dan tentunya kami menyasar mengupah hingga 50 tukang jahit bagi menampung sasaran peningkatan jumlah pengeluaran pada tahun depan.

“Sasaran ini juga mengambil kira keutamaan UiNEE terhadap kualiti tudung yang dijual, justeru berbanding menggunakan kilang, kami masih berharap dapat kekal mengupah tukang jahit demi menjamin kualiti jahitan terbaik untuk pelanggan,” katanya.

Mengulas lanjut, Nurazila menjelaskan ketika ini UiNEE menggunakan sistem ejen sebagai kaedah pemasaran, tetapi terhad kepada dropship tanpa melantik stokis.

Katanya, ia adalah untuk menyesuaikan kuantiti yang mampu dihasilkan tukang jahit pada satu-satu masa, sekali gus mengelak risiko lambakan stok di peringkat stokis.

“Sekarang ini UiNEE mempunyai 20 ejen meliputi beberapa kawasan di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

“Diharapkan apabila pengeluaran tudung UiNEE meningkat kepada 50,000 helai menjelang akhir tahun depan, ejen UiNEE akan turut meningkat kepada 300 orang dan ada di setiap negeri di seluruh Malaysia.

“Cuma sistem ejen untuk UiNEE akan dihadkan kepada dropship saja, tidak dibuka untuk pukal demi menyesuaikan kemampuan kapasiti pengeluaran kami yang tidak menggunakan kilang sebaliknya hanya mengupah tukang jahit,” katanya.

Dalam pada itu, Nurazila berkata, UiNEE juga disasar dijual secara runcit sepenuhnya menjelang lima tahun lagi dengan pembukaan butik dalam tempoh dua tahun selepas itu.

“Ini sasaran utama UiNEE di mana jenama ini diharap dapat menambat hati pelanggan untuk berada di pasaran runcit dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya.

Selain untuk kasual, tudung UiNEE turut dikeluarkan bagi tujuan uniform sekolah buat pelajar perempuan yang dijual pada harga antara RM30 hingga RM45 sehelai.