Kuala Lumpur: Syarikat induk Bank Islam, BIMB Holdings Bhd (BHB) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM135.81 juta bagi suku ketiga yang berakhir 30 September 2020, penurunan 35 peratus daripada RM208.38 juta dalam suku yang sama tahun lalu.

Hasil susut kepada RM1.33 bilion daripada RM1.38 bilion, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Prestasi syarikat pegangan pelaburan Islam itu bergantung terutamanya kepada dua anak syarikat utamanya iaitu Bank Islam Malaysia Bhd dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia).

Keuntungan sebelum zakat dan cukai Bank Islam susut 34 peratus tahun ke tahun kepada RM137.3 juta, manakala keuntungan sebelum zakat dan cukai Takaful Malaysia turun 20 peratus kepada RM97.8 juta.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama, keuntungan bersih BHB jatuh 18 peratus kepada RM498.07 juta berikutan penurunan hasil sebanyak lapan peratus kepada RM3.72 bilion.

BHB dalam satu kenyataan berasingan, hari ini, berkata prestasi lemah bagi tempoh sembilan bulan itu adalah disebabkan pendapatan pembiayaan bersih rendah berikutan penurunan beberapa kali kadar dasar semalaman oleh Bank Negara Malaysia, kerugian pengubahsuaian yang disebabkan oleh moratorium pinjaman pada April dan peruntukan rosot nilai dahuluan dengan mengambil kira persekitaran ekonomi yang mencabar.

Bagaimanapun, kumpulan itu berkata pulangan bagi ekuiti selepas cukai tahunannya kekal kukuh pada 11.7 peratus dengan pendapatan sesaham bernilai 27.82 sen, manakala aset bersih kumpulan sesaham meningkat kepada RM3.64 setakat 30 September, 2020, berbanding RM3.34 pada 31 Disember, 2019.

Bagi segmen perbankannya, BHB berkata kualiti portfolio aset Bank Islam kekal kukuh seperti yang dicerminkan dalam nisbah pembiayaan rosot nilai kasar rendah pada 0.6 peratus pada 30 September, lebih rendah berbanding 1.4 peratus daripada keseluruhan sistem perbankan semasa tempoh itu.

Jumlah pembiayaan rosot nilai kasar bank itu pada 30 September berjumlah RM328.9 juta, berbanding RM541.4 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

BHB berkata, jumlah nisbah modal bank itu pada 18.8 peratus semasa tempoh tersebut juga berada dalam kedudukan modal yang kukuh untuk memudahkan bantuan bersasar kepada pelanggan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan menyokong pertumbuhan perniagaan.

“Setakat 30 September, pembiayaan bersih bank itu mencecah RM53.8 bilion, pertumbuhan kukuh 11.7 peratus tahun ke tahun sebanyak RM5.6 bilion.

“Jumlah akaun deposit dan pelaburan pelanggan meningkat 5.2 peratus atau RM2.9 bilion kepada RM58.9 bilion, manakala jumlah komposisi akaun simpanan semasa dan akaun pelaburan transaksional berada pada paras yang kukuh pada 37.3 peratus daripada jumlah akaun deposit dan pelaburan pelanggan,” kata syarikat itu.

Bagi Takaful Malaysia, kumpulan itu berkata prestasi lemah itu adalah disebabkan jualan rendah daripada perniagaan takaful keluarga.

Ia merekodkan sumbangan perolehan kasar RM1.26 bilion bagi tempoh sembilan bulan berbanding RM1.51 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sementara itu, perniagaan takaful am mencatatkan sumbangan perolehan kasar tinggi sebanyak RM556.4 juta bagi tempoh tersebut berbanding RM542.4 juta dalam tempoh yang sama pada 2019, disumbang terutamanya daripada kelas motor.

Kumpulan itu berkata, berikutan pandemik Covid-19 dan impak ekonomi berkaitan, Takaful Malaysia sedang mempersiap untuk pasaran dan landskap operasi yang sangat berbeza pasca tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan kerana kebimbangan terhadap jaminan pekerjaan masih lagi tinggi.

Pengguna dijangka lebih berhati-hati untuk berbelanja dan ini dijangkakan kerana aktiviti ekonomi akan mengambil sedikit masa untuk pulih, kata BHB.