AXIATA Group Bhd berjaya merekodkan keputusan kewangan memberangsangkan dengan mencapai untung bersih meningkat lebih 100 peratus kepada RM353 juta bagi suku ketiga 2020 berikutan pelonggaran kawalan pergerakan merentasi pasaran ia beroperasi dan kedudukan aliran tunai yang kukuh.

Walaupun berdepan persekitaran makro mencabar dan kompleks, kumpulan telekomunikasi itu mencatatkan penjimatan RM366 juta pada suku ketiga 2020, menjadikan jumlah kos yang cemerlang kepada RM895 juta setakat ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Tan Sri Jamaludin Ibrahim berkata, syarikat telekomunikasi itu memperlihatkan keutuhannya dengan mencatatkan prestasi yang baik merentasi hampir semua bidang meskipun berdepan impak pandemik.

Katanya, pada suku dikaji, pendapatan kumpulan meningkat 5.5 peratus kepada RM6.1 bilion dipacu sumbangan daripada semua syarikat operasinya (OpCos) kecuali XL.

Menurutnya, hampir semua OpCos mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan dalam pendapatan, jumlah pelanggan, EBITDA (pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan) dan untung bersih.

“Suku ketiga adalah suku tahunan paling cemerlang buat kami dan menjadi lonjakan kukuh berbanding suku kedua (2020).

“Pada September, semua pendapatan bagi OpCos kecuali XL lebih tinggi berbanding paras sebelum sekatan pergerakan yang menandakan kami pulih secara kukuh pada suku ketiga.

“Namun bagi suku keempat, kami akan berhati-hati kerana langkah kawalan pergerakan kembali semula diketatkan di kebanyakan negara yang kami beroperasi,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan Axiata bagi suku ketiga 2020 secara maya, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Izzaddin Idris berkata, melangkah ke depan, syarikat telekomunikasi itu akan terus menumpukan dalam matlamat jangka panjang kumpulan.

Beliau berkata, ia termasuk meninjau peluang baharu bagi memperkukuhkan lagi kedudukan kumpulan pada masa depan.

Beliau berkata, dengan strategi yang mantap, kumpulan itu bersedia untuk memanfaatkan peluang yang ada dan baharu.