FGV Holdings Berhad (FGV) menjangkakan prestasi kewangan bagi suku kedua 2020 bertambah baik disokong kepelbagaian aliran pendapatan kumpulan dan pertambahan pengeluaran tandan buah segar (TBS).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, pemulihan perdagangan dengan India serta kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) di Malaysia dijangka menyokong peningkatan jualan seiring pengeluaran.

Katanya, FGV juga memperoleh penjualan untuk penghantaran Jun dan Julai ke India iaitu pembeli utama minyak sawit mentah (CPO).

“Walaupun kumpulan melalui beberapa cabaran pada suku pertama 2020, kami menjangkakan keadaan bertambah baik pada suku kedua ini dengan pertambahan pengeluaran TBS membolehkan prestasi keseluruhan kembali meningkat.

“FGV juga akan terus mengurangkan aset dan pelaburan yang tidak berprestasi terutama yang dilakukan sebelum ini untuk mengoptimumkan struktur permodalan dan mengukuhkan kedudukan kunci kira-kira keseluruhannya.

“Selain itu, kira-kira RM150 juta nilai pelupusan diperoleh menerusi pelupusan lapan aset dan setakat ini sebanyak RM50 juta sudah diperoleh sejak akhir tahun lalu.

“Kami juga akan mempelbagaikan aliran pendapatan kumpulan dengan memaksimumkan potensi bank tanah sedia ada selain sudah menandatangani usaha sama dengan syarikat berpangkalan di India untuk memperkukuhkan penyertaan dalam pasaran produk makanan,” katanya pada sidang media keputusan kewangan suku pertama 2020 FGV ecara persidangan video di sini, semalam.

Menurutnya, FGV turut memperoleh Sijil Penjualan Bebas untuk memenuhi keperluan eksport ke Myanmar dan berpotensi memasuki pasaran loji tenaga Jepun yang memfokus kepada tenaga diperbaharui bagi memenuhi sasaran mereka sebagai masyarakat rendah karbon.

“Walaupun persekitaran perniagaan terganggu dan mungkin mencabar sepanjang tahun ini, FGV akan terus mencari jalan penyelesaian bersesuaian objektif komersial syarikat dan polisi nasional dengan membabitkan golongan B40 di dalam rantaian bekalan kami.

“Kami melihat gangguan kepada rantaian bekalan sektor makanan global sebagai peluang menangani masalah jaminan makanan nasional dan berpotensi memanfaatkan peluang penggantian import untuk barang makanan penting,” katanya.

Beliau berkata, sektor tenusu juga adalah perniagaan baharu kepada kumpulan dan mencatatkan pendapatan gabungan sebanyak RM0.61 juta dalam dua bulan sejak RedAgri Farm Sdn Bhd diperoleh pada Februari 2020.

Sementara itu, FGV mencatat kerugian sebelum zakat dan cukai (LBZT) sebanyak RM163 juta bagi tiga bulan pertama tahun kewangan berakhir Disember 2020, terkait dengan penurunan hasil 15 peratus kepada RM2.78 bilion.

Penurunan ini disebabkan beberapa faktor, yang paling ketara, kekurangan TBS dalam tempoh terbabit dan margin lebih rendah di kedua-dua sektor sawit dan gula.