PMB Investment Bhd (PMB Investment) menjangkakan pemulihan ekonomi dan peningkatan indeks Bursa Malaysia akan membolehkannya mencapai sasaran meningkatkan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) kepada RM2 bilion pada akhir tahun ini.

Ketika ini, AUM anak syarikat Pelaburan MARA Bhd (Pelaburan Mara) itu berjumlah kira-kira RM1.3 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed berkata, pasaran tempatan dijangka kembali meningkat pada separuh kedua 2020 selepas mencatatkan prestasi lemah enam bulan pertama tahun ini disebabkan penularan pandemik Covid-19.

Unjuran positif itu juga katanya, akan membolehkan PMB Investment memperkenalkan satu lagi dana unit amanah pada suku keempat ini.

“Pasaran akan dapat menyaksikan pemulihan yang meningkat pada suku ketiga ini dan ia dijangka terus mencatatkan prestasi positif sepanjang tahun.

“Ia juga bakal memberikan kelebihan kepada AUM kumpulan. Walaupun sukar untuk diramalkan, tetapi pemulihan ini akan memberikan impak kepada semua pihak, kami akan melihat dulu reaksi pasaran.

“Pasaran sasaran kami terdiri daripada pelabur runcit dan juga pelabur korporat,” katanya selepas majlis pengumuman prestasi lima dana terbaik PMB Investment di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Mengulas lanjut, Najmi berkata, PMB Investment akan terus memantau perkembangan di pasaran dan juga syarikat tersenarai untuk membuat perubahan dalam portfolio bagi membolehkannya kekal mencatatkan prestasi pelaburan terbaik.

Beliau berkata, PMB Investment akan mengimbangi portfolio secara aktif dengan mengambil kira pelbagai faktor yang ada di pasaran di samping terus menggunakan pendekatan kekuatan relatif untuk setiap sektor dan kaunter.

“Buat masa ini, kami berpendapat sektor sarung tangan getah, kesihatan dan teknologi masih berpotensi memberikan pulangan yang baik,” katanya.

Najmi berkata, dana unit amanah baharu yang akan dilancarkan kelak, ketika ini masih dalam proses kelulusan Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Katanya, dana unit amanah itu akan mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri selain mampu menarik lebih ramai pelabur.

Lima daripada 16 dana di bawah pengurusan PMB Investment merekodkan prestasi cemerlang yang berada dalam Lipper Investment Management bagi kategori unit amanah Ekuiti Malaysia, Ekuiti Pertumbuhan, Ekuiti Pertumbuhan Pendapatan dan dana Ekuiti Index.