UMW Toyota Motor (UMWT) memindahkan operasi di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak bermula semalam bagi membolehkan syarikat menumpukan aktiviti lain dalam operasi.

Pengedar yang terbabit Borneo Mobility (Sabah) Sdn Bhd dan Borneo Mobility (Sarawak) Sdn Bhd masing-masing akan mengambil alih cawangan di Kota Kinabalu dan Kuching.

Di Lembah Klang, PCM Subang Motor Sdn Bhd pula akan mengambil alih operasi cawangan Subang Jaya.

Presiden UMWT K Ravindran berkata, langkah berkenaan penting untuk terus mencapai tahap kepuasan pelanggan yang tertinggi.

“Langkah ini akan membolehkan kami untuk memberi tumpuan terhadap aktiviti lebih penting seperti pembangunan produk, pemasaran dan sokongan rangkaian pengedar, sementara pihak pengedar pula boleh menumpukan usaha mereka untuk memenuhi kepuasan pelanggan dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, ketika ini, pihaknya bekerja lebih dekat dengan pengedar untuk menzahirkan visi bersama UMWT, iaitu untuk membawakan konsep Best In Town yang bermaksud untuk memberi lebih tumpuan terhadap layanan individu kepada pelanggan,” katanya.