Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) yakin dapat mewujudkan satu ekosistem keusahawanan yang kondusif di Jelebu, Negeri Sembilan menerusi pembinaan kedai koperasi yang bakal dibangunkan UDA Holdings Berhad (UDA).

UDA dilantik sebagai pemaju utama bagi membangunkan projek di atas tanah milik Koperasi Kakitangan Kerajaan Daerah Jelebu Berhad di Kuala Klawang.

Projek empat lot rumah kedai dua tingkat yang bakal diberi nama UDA Niaga ini dibina di atas tanah berkeluasan 0.17 ekar milik koperasi terbabit dan dijangka mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan.

Anggaran Kos Pembangunan Kasar (GDC) sebanyak RM1.7 juta dengan menggunakan geran yang disediakan kerajaan bagi menguruskan serta membangunkan projek yang kemudian akan diserahkan kepada pemilik tanah selepas ia siap dibina kelak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, UDA Niaga dijangka berpotensi dijadikan sebagai pusat sehenti untuk usahawan di kawasan berkenaan.

“Ia juga mungkin boleh menjadi pusat sehenti untuk agensi di bawah Medac seterusnya memudahkan penduduk tempatan mendapatkan maklumat berkaitan insentif serta program keusahawanan yang disediakan Medac,” katanya.

Menurutnya, berikutan lokasinya yang terletak berhampiran bandar Kuala Klawang, ia juga dijangka menjadi tempat tumpuan komuniti.

“Ia juga satu usaha produktif oleh koperasi bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan ahli koperasi, usahawan dan masyarakat setempat.

“Kementerian berharap inisiatif ini menjadi contoh dalam menggalakkan semangat keusahawanan di kawasan itu serta koperasi yang lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sebelum ini UDA membangunkan 168 unit kedai seperti UDA Niaga yang sebelum ini dikenali sebagai Kedai Desa di 16 tapak di seluruh negara dengan dana pembangunan diberikan kerajaan.

“UDA diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk membangunkan UDA Niaga di seluruh negara antaranya di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Projek UDA Niaga ini lebih tertumpu pada pembangunan lot kedai di atas tanah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penduduk setempat akan menerima manfaat daripada pembangunan itu,” katanya.