EKONOMI Malaysia mencatatkan pertumbuhan sederhana 0.7 peratus pada suku pertama (s1) 2020, lebih rendah berbanding suku ke-4 2019 iaitu 3.6 peratus.

Ia juga adalah kadar pertumbuhan terendah sejak suku ketiga 2009 ketika krisis kewangan global.

Namun, bank pusat yakin bahawa ekonomi negara akan mencatatkan pemulihan secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini, selepas pembukaan semula ekonomi melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, penularan pandemik Covid-19 adalah faktor utama yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

“Pandemik ini menjejaskan semua rantaian ekonomi utama dan serantau termasuk Malaysia, di mana kebanyakannya melaksanakan langkah sekatan dan kawalan pergerakan yang menjejaskan aktiviti ekonomi dan permintaan.

“Penularan virus itu mencetuskan krisis ekonomi yang belum pernah berlaku. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19 sememangnya memberi impak kepada ekonomi.

“Malaysia akan berdepan penguncupan pada suku kedua 2020, tetapi akan pulih semula pada suku ketiga 2020,” katanya pada sidang media maya prestasi ekonomi suku pertama 2020 di sini, semalam.

Menurutnya, suku pertama 2020 memperlihatkan sektor perkhidmatan dan perkilangan sederhana sementara sektor lain mencatatkan penguncupan.

Dalam suku tahunan itu, permintaan luaran dan pelaburan merosot, sementara penggunaan swasta mencatatkan pertumbuhan sederhana.

Sementara itu, Nor Shamsiah berkata, pihaknya dijangka mengumumkan semakan semula unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi keseluruhan 2020 pada separuh kedua tahun ini sebaik memperoleh data dan maklumat lebih jelas terutama membabitkan negara rakan dagang utama Malaysia.

“Buat masa ini, BNM tidak boleh memberikan unjuran keseluruhan baharu bagi tahun ini kerana ketidaktentuan masih wujud berikutan impak penularan Covid-19.

“Ia hanya boleh dibuat selepas mengambil kira data dan tinjauan yang mana hanya boleh dilakukan pada separuh kedua tahun ini,” katanya.

Menurutnya, impak Covid-19 terhadap ekonomi Malaysia sememangnya teruk, terutama pada suku kedua tahun ini.

“Dengan pelaksanaan tiga fasa PKP terutama dari 18 Mac hingga 3 Mei lalu, ia menyaksikan pemberhentian mendadak aktiviti ekonomi dan hanya barangan serta perkhidmatan perlu yang beroperasi.

“Pemulihan pertumbuhan akan berlaku pada separuh kedua tahun ini dengan aktiviti ekonomi dibuka semula. Pertumbuhan ini akan berterusan lebih pantas pada 2021 memandangkan rakan dagang utama negara juga sudah membuka semula ekonomi mereka.

“Malaysia dikira bernasib baik kerana mempunyai hubungan dagang dengan negara yang sudah membuka semula ekonomi mereka seperti China,” katanya.