Subang: TresGo Sdn Bhd (TresGo), syarikat logistik Bumiputera yang memfokus kepada peniaga e-dagang akan meluaskan kapasiti gudangnya sekali ganda kepada 30,000 kaki persegi.

Pengarah dan Pengasas Bersamanya, Nadhra Fauzi berkata, penambahan kapasiti gudang itu perlu dilakukan berikutan pihaknya menerima peningkatan permintaan daripada usahawan yang kini ramai menceburi perniagaan digital.

Katanya, setakat ini TresGo mempunyai 72 pelanggan terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kebanyakannya menjual produk menggunakan platform e-dagang.

“TresGo ditubuhkan pada 2017 dan kami menjadi hab untuk simpanan barang pelanggan serta menguruskan inventori termasuk pembungkusan dan penghantaran.

“Buat masa ini, terdapat empat kategori utama produk yang kami uruskan antaranya fesyen, kelengkapan isi rumah, barang elektronik, kesihatan dan kecantikan.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), TresGo menyaksikan peningkatan penyimpanan, malah jika sebelum ini 60 peratus produk yang kami uruskan dalam kategori kecantikan dan fesyen, namun sekarang 60 peratus produk membabitkan produk isi rumah dan barang kesihatan seperti pembasmi kuman,” katanya kepada Bisnes Metro.

Nadhra berkata, TresGo menguruskan 45,000 jenis barang menggunakan sistem yang disepadukan dengan PKS.

“Dengan caj serendah RM8.60 setiap tempahan, PKS boleh menggunakan khidmat kami dan menjimatkan masa mereka untuk memberi tumpuan terhadap pemasaran produk.

“Kami menyasarkan menjadi hab logistik e-dagang pertama di Malaysia,” katanya.