E-DOMPET gaya hidup tempatan, Boost memperkenalkan Boost Payment Link iaitu penyelesaian tanpa kontak berkos rendah dan boleh diakses untuk peniaga yang bertujuan membantu perniagaan mikro dan kecil berasaskan tunai agar kekal beroperasi.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Khairil Abdullah berkata, ramai pemilik perniagaan mikro dan kecil yang menjalankan perniagaan berasaskan tunai menghadapi risiko penutupan berikutan penurunan mendadak pelanggan.

“Situasi itu juga berlaku susulan pelanggan memilih kaedah pembayaran tanpa tunai dan mengehadkan penggunaan wang kerana mereka mencari kaedah yang lancar dan selamat untuk melakukan transaksi.

“Bayaran tanpa kontak kini menjadi kebiasaan baharu memandangkan kawalan pergerakan dan pandemik mengubah cara perniagaan dan pengguna berinteraksi antara satu sama lain.

Boost Payment Link dengan mudah membolehkan peniaga mikro dan kecil berasaskan tunai melakukan transaksi tanpa tunai dan melindungi perniagaan mereka dengan hampir tiada pelaburan diperlukan.

“Mereka hanya memerlukan telefon pintar, akaun Boost dan data atau sambungan WiFi. Inilah cara kami membantu perniagaan membina daya tahan dan menggunakan penyelesaian digital mudah serta terus beroperasi secara jarak jauh,” katanya.

Menurutnya, kaedah sedemikian lebih selamat, lancar dan lebih cekap untuk menjalankan perniagaan dalam keadaan penularan wabak Covid-19.

“Kaedah ini membolehkan peniaga menghantar pautan pembayaran kepada pelanggan secara mudah melalui sebarang aplikasi pesanan seperti e-mel, SMS atau WhatsApp dan menerima pembayaran pada bila-bila masa, di mana saja.

“Pelanggan dapat membuat pembayaran melalui pautan berkenaan dengan lancar tanpa mengimbas kod QR secara fizikal.

“Penjual juga tidak perlu melabur untuk terminal jualan (POS) atau terminal pembayaran yang mahal atau mempunyai kod QR statik bagi menerima pembayaran,” katanya.

Menurutnya, ciri baharu itu juga membolehkan perniagaan berasaskan tunai tradisional menerima pesanan dan pembayaran pendahuluan secara dalam talian sebelum menyerahkan barang atau perkhidmatan mereka.