TENAGA Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB International Sdn Bhd (TNBI) kini menguasai pegangan ekuiti kawalan dalam syarikat Vortex Solar Investments S.a.r.l. (Vortex Solar) daripada Beaufort Investments S.a.r.l, satu subsidiari EFG Hermes Holding SAE pada nilai GBP11 juta (RM59 juta).

Pemerolehan itu meningkatkan pegangan ekuiti TNB dalam Vortex Solar kepada 55 peratus, sekali gus memberi TNB penguasaan majoriti dalam syarikat itu.

Vortex Solar adalah satu daripada platform solar terbesar di United Kingdom (UK) dengan skim subsidi Renewables Obligation Certificate (ROC).

Portfolio itu merangkumi 24 ladang solar beroperasi dengan kapasiti keseluruhan 365MW yang konsisten menghasilkan pulangan kukuh sepanjang dua tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pemerolehan itu satu pencapaian penting dalam komitmen TNB untuk mengurangkan jejak karbonnya dan mengembangkan portfolio perniagaan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) sejajar dengan aspirasi transisi tenaga untuk menjadi peneraju kepada penyelesaian tenaga mampan di dalam dan luar negara.

“Dengan pemerolehan ini, TNB kini menguasai pegangan majoriti Vortex Solar, sekali gus memperkukuhkan jejak perniagaan Kumpulan dalam bidang RE di Eropah selepas pemilikan penuh Tenaga Wind Ventures UK Ltd (TWV), portfolio Feed-in-Tariff (FiT) angin terbesar di UK.

“Ia juga satu daripada strategi untuk mengembangkan perniagaan RE TNB di UK dan Eropah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. menjalankan operasi dan mengurus portfolio aset-aset RE di UK dan Eropah.

“Meskipun berdepan dengan keadaan tidak menentu akibat Covid-19, prestasi kewangan dan operasi Vortex Solar dan TWV adalah di luar jangkaan.

“Penguasaan Vortex Solar menyumbang secara positif kepada objektif kewangan dan strategik TNB. Portfolio itu mencatatkan EBITDA GBP39.1 juta (RM210 juta) pada 2019 dan berkembang daripada margin EBITDA 80 peratus pada 2018 kepada 84 peratus pada 2019.

“Pemerolehan ini juga dijangka menyumbang secara positif terhadap keuntungan bersih Kumpulan,” katanya.