TELEKOM Malaysia Berhad (TM) optimis mampu mengadaptasi teknologi generasi kelima (5G) berbekalkan keupayaan infrastruktur telekomunikasi yang dimiliki di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, pihaknya komited untuk merealisasikan teknologi itu ke arah mencapai kadar penembusan jalur lebar berkelajuan tinggi buat lebih 98 peratus penduduk di negara ini.

Katanya, dengan kabel gentian optik TM sepanjang lebih 560,000 kilometer (km) di seluruh negara, TM bersedia melaksanakannya pada kadar segera jika diberikan spektrum frekuensi oleh kerajaan.

“Kami operator tetap, ada kelebihan tersendiri di mana untuk rumah yang jauh pun boleh disediakan capaian Internet menerusi pemasangan tiang, antena dan sebagainya.

“Perancangan kami jika dianugerahkan spektrum 5G itu nanti adalah mewujudkan liputan di kawasan yang belum ada melalui wireless (tanpa wayar) kerana ia akan mempercepat proses penembusan jalur lebar di seluruh negara.

“Misalnya, kami tarik kabel gentian optik di satu kampung, pasang tiang, antena dan sebagainya berserta 5G, keseluruhan kawasan akan dapat capaian sekurang-kurangnya enam atau tujuh kilometer dengan mudah,” katanya sebagai menyatakan kesediaan TM untuk melabur dalam teknologi 5G sekiranya kerajaan memberikan spektrum frekuensi itu.

“Kami menunggu pengumuman kerajaan mengenai pemberian spektrum ini. Apa yang boleh saya perkatakan, TM bersedia memperkenalkan teknologi 5G kepada rakyat dalam tempoh tidak lama selepas menerima spektrum.

“Ini termasuk membangunkan infrastruktur bagi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan mewujudkan peluang kepada syarikat besar juga perniagaan kecil,” katanya dalam satu temu bual khas di sini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Strategi TM, Tengku Muneer Tengku Muzani.

Sementara itu, Tengku Muneer berkata, TM perlu diberi peluang untuk mengadaptasi teknologi 5G bagi memastikan rakyat dapat menikmati rangkaian lebih baik dan pantas.

Jelas beliau, TM mampu melakukan adaptasi itu dengan kadar segera bergantung kepada keluasan liputan serta keperluan peralatan lain untuk dibawa ke kawasan pemasangan yang mungkin mengambil sedikit masa terutama ketika krisis Covid-19 masih belum berakhir sepenuhnya.

“Dari segi pendigitalan seluruh Malaysia, tiada satu pun syarikat dapat melaksanakannya sendirian sebaliknya setiap pemain industri perlu mengambil bahagian.

“Untuk 5G, TM berhasrat menawarkan teknologi ini kepada isi rumah yang langsung tidak mendapat akses berkenaan kerana pada masa depan ia bukan lagi mengenai berapa banyak kuota Internet ditawarkan tetapi data tanpa had yang diperlukan.

“Kami memiliki keupayaan yang cukup untuk mempercepat peralihan ke negara digital dengan sokongan komunikasi kukuh, rangkaian yang boleh dipercayai dan pasukan kepimpinan yang berdedikasi,” katanya.