TELEKOM Malaysia Berhad (TM) menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan dibuat pada konfigurasi kelajuan muat naik bagi pakej unifi 500Mbps.

TM dalam kenyataan hari ini berkata, pembetulan sudah dibuat bagi kesilapan kelajuan muat naik untuk pakej 500Mbps yang tertera di Soalan-soalan Lazim (FAQ), portal unifi dan risalah pada 2 September 2020.

Konfigurasi kelajuan muat naik yang betul bagi pakej 500Mbps adalah 100Mbps dan bukannya 200Mbps seperti tertera dalam versi FAQ, portal unifi dan risalah sebelum ini.

“Kami ingin memaklumkan bahawa semua pelanggan masih dalam tempoh 30 hari percubaan

atau “Try Me” memandangkan pakej berkenaan baru saja diperkenalkan kurang sebulan lalu

iaitu pada 24 Ogos 2020.

“Oleh itu, pelanggan boleh memilih untuk tidak meneruskan langganan tanpa dikenakan sebarang penalti.

“Kami juga akan menghubungi pelanggan yang telah melanggan pakej 500Mbps ini sejak 24 Ogos bagi memaklumkan kepada mereka berkenaan kesilapan itu dan pilihan yang mereka ada, bermula Isnin, 21 September 2020.

“Kami ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan dan memberi jaminan kepada pelanggan

bahawa semua saluran kami, termasuk laman web dan bahan-bahan promosi pemasaran telah

dikemas kini dengan maklumat yang betul,” katanya.

Kenyataan itu dibuat sebagai maklum balas kepada kenyataan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang dikeluarkan pagi ini bertajuk “MCMC Siasat Aduan Pengurangan Kelajuan Pakej unifi Berbanding Tawaran Awal”.

TM berkata, pihaknya ingin meyakinkan semua pelanggan dan pihak berkepentingan berkenaan komitmen terhadap hak dan perlindungan pengguna.

“Kami menyesali kesilapan yang berlaku dan telah mengeluarkan penjelasan berkenaan perkara itu Jumaat lalu.

“Kami akan terus bersikap telus dalam memaklumkan kepada pelanggan mengenai perkara ini, dan kami sedang memperkemas proses-proses kami supaya perkara sebegini tidak berulang.

“Pada masa sama, kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SKMM

dalam proses siasatan mereka,” katanya.