Kuala Lumpur: Nestle (Malaysia) Bhd memperuntukkan RM18 juta untuk menanam tiga juta pokok dalam tiga tahun melalui Project RELeaf, sekali gus memperkukuh ikrar syarikat global ini mencapai Pelepasan Gas Rumah Sifar Bersih menjelang 2050.

Dengan perbelanjaan RM6 juta setiap tahun, Projek RELeaf itu juga bertujuan meningkatkan usaha Nestle untuk memulihkan kawasan tebing sungai dan ekosistem hutan yang akan menyumbang kepada usaha mewujudkan koridor kehidupan liar, mengurangkan konflik manusia-hidupan liar dan mengurangkan kesan negatif ke atas bekalan air yang kritikal.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia Berhad, Juan Aranols berkata, Projek REleaf, inisiatif penghutanan semula di Malaysia yang menyumbang kepada janji global syarikat untuk mencapai pelepasan gas rumah sifar bersih menjelang 2050.

Katanya, Nestle Malaysia komited membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai isu alam sekitar dan memberikan sumber pendapatan tambahan untuk menambah mata pencarian penduduk sekitar.

“Kami menyedari keperluan mendesak menangani perubahan iklim yang sudah menjadi ancaman kepada kelestarian perniagaan kami dan masa depan bumi kita.

“Projek REleaf membolehkan kami mempercepat usaha mencapai cita-cita pelepasan gas bersih sifar dengan meningkatkan penyelesaian berpandukan alam semula jadi.

“Projek ini juga bukan sahaja meningkatkan biodiversiti, tetapi membantu menyerap emisi karbon,” katanya pada sidang media pelancaran Projek REleaf di sini, semalam.

Hadir merasmikan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Nestle Malaysia akan menanam tiga juta pokok di seluruh Kinabatangan Wetlands, kawasan Pemulihan Hutan Merisuli di Sabah dan hutan simpan di sepanjang Lingkaran Hutan Tengah di Semenanjung.