DALAM usaha memerangi Covid-19, Lazada Malaysia meningkatkan usaha membantu komuniti tempatan dengan melancarkan tiga inisiatif termasuk menyediakan platform untuk usahawan pertanian.

Melalui inisiatif itu, Lazada membantu menghubungkan pekebun sayur, penternak ayam dan nelayan dengan pembeli.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lazada Malaysia, Leo Chow berkata, sekumpulan pekebun sayur dari Cameron Highlands mula menjual sayuran-sayuran mereka secara dalam talian sejak Khamis lalu selepas Lazada menyediakan perkhidmatan jualan dan penghantaran istimewa bagi membantu mereka menyelamatkan hasil tanaman daripada dibuang.

“Selain pekebun sayur, pekebun buah dan nelayan juga terpaksa membuang hasil mereka disebabkan isu pengangkutan.

“Lazada ada membaca mengenai pekebun di Cameron Highlands yang terpaksa membuang hasil segar mereka disebabkan isu rantaian bekalan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami segera menghubungi mereka dan mencari jalan untuk memanfaatkan teknologi dan logistik serta berjaya meletakkan mereka di platform Lazada dalam masa kurang 48 jam,” katanya.

Menurutnya, sepanjang hujung minggu, pekebun menjual 1.5 tan sayuran setiap hari mulai hari Jumaat hingga Ahad.

“Bagi memenuhi permintaan hasil segar dan barangan runcit yang tinggi letika PKP, Lazada menyediakan seksyen khas Cameron Farmers serta MyFishman untuk bekalan makanan laut dan Mymarket2u untuk keperluan barangan runcit bagi memenuhi permintaan pelanggan sejak awal Februari lalu.

“Kami gembira melihat pekebun, nelayan dan PKS terjejas dapat mengekalkan sumber pendapatan mereka menerusi platform kami tanpa perlu risau bayaran sewa dan utiliti, malah dengan tenaga kerja diperlukan untuk penghantaran.

“Kejayaan dicapai Cameron Farmers amat menggalakkan dan mengukuhkan lagi komitmen kami untuk membantu lebih ramai pemegang kepentingan dalam ekosistem e-dagang,” katanya.