SYARIKAT penerbangan tambang rendah, AirAsia Group Bhd kini dalam proses meneliti semula pesanannya dengan Airbus dan tidak akan menerima sebarang penghantaran pesawat baharu tahun ini.

Pengerusi Eksekutif AirAsia Group, Datuk Kamarudin Meranun dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak berhasrat menerima sebarang penghantaran pesawat baharu tahun ini dan menyasarkan untuk mengakhiri 2020 dengan sejumlah 242 pesawat iaitu pengurangan satu pesawat berbanding tahun lalu.

Laporan sebelum ini menyatakan pengeluar pesawat Eropah itu melepaskan tempahan enam pesawat AirAsia yang sebaliknya akan dijual ketika krisis industri penerbangan terus meruncing susulan pandemik Covid-19.

Kamarudin berkata, keputusan itu memberi lebih banyak ruang untuk kumpulan menumpukan aspek pertumbuhan berbanding pemilikan pesawat pada hari ini.

Malah, kumpulan itu berjaya mendapatkan harga terbaik bagi pesawat berkenaan dalam keadaan pasaran utama seiring usaha melenyapkan risiko akibat pemilikannya.

“Kami juga melakukan penyusunan semula sebahagian besar daripada lindung nilai bahan api menerusi sokongan rakan terbabit dan masih dalam proses penyusunan baki dedahan yang ada.

“Ini akan membantu dari segi menangani lebihan jumlah lindung nilai jangkaan penggunaan bahan api pasca-Covid-19 serta mengurangkan kerugian jika harga bahan api itu kekal pada paras semasa,” katanya.

Kamarudin berkata, langkah-langkah selanjutnya bagi mengurus dan mengawal kos itu termasuk di peringkat pengurusan dan pekerja kanan yang sanggup mengorbankan gaji, melakukan rundingan semula kontrak dan menangguhkan semua perbelanjaan tidak penting.

Beliau turut menjangkakan semua inisiatif penjimatan kos itu dapat menghasilkan sekurang-kurangnya 30 peratus pengurangan kos tahun ke tahun dalam tahun kewangan 2020.

Dalam pada itu, AirAsia menyambung semula perkhidmatan penerbangan domestik di Malaysia bermula semalam dan akan diikuti oleh Thailand (1 Mei), Filipina (16 Mei), dan Indonesia (7 Mei) selepas mendapat persetujuan pihak berkuasa.

Kamarudin berkata, pihaknya turut melaksanakan protokol kawalan kesihatan dan penjarakan sosial yang ketat sebagaimana ditetapkan.

Malah, semua pesawat yang dilengkapi dengan penapis udara partikel berkecekapan tinggi sebagaimana digunakan di hospital, akan turut menjalani proses pembasmian kuman secara menyeluruh bagi setiap hentian waktu malam.

“Kami (akan) terus mempelbagaikan sumber pendapatan dalam tempoh mencabar ini dengan pendekatan lebih mesra pasaran. Ini termasuk bagi mengembangkan lagi perniagaan digital dan sampingan seperti Santan, Teleport dan BigPay,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19