PERSATUAN Insurans Am Malaysia (PIAM) menjelaskan bahawa penangguhan bayaran selama tiga bulan sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini hanya membabitkan polisi insurans hayat dan takaful keluarga.

Ia tidak terpakai untuk pemegang polisi insurans am.

PIAM dalam kenyataan hari ini berkata, di bawah langkah tambahan untuk membantu individu dan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak Covid-19, Bank Negara Malaysia (BNM) menggariskan bahawa penangguhan bayaran premium/sumbangan untuk polisi insurans hayat dan takaful keluarga boleh dilakukan bagi tempoh tiga bulan.

“Ia akan ditawarkan pengendali insurans dan takaful melalui jaminan tanpa tunggakan, yang mana polisi/sijil masih sah laku dalam tempoh penangguhan ini.

“Ia berlangsung dari 1 April hingga 31 Disember 2020,” katanya.