Pengumuman ini menghapuskan kekeliruan yang timbul baru-baru ini mengenai keperluan membayar faedah tambahan bagi pinjaman sewa beli – Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Tiada faedah tambahan akan dikenakan sekiranya seseorang peminjam mengambil moratorium pinjaman sewa beli.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ini bermakna jumlah ansuran bulanan yang dibayar oleh peminjam akan kekal sama sepanjang tempoh keseluruhan pembiayaan.

Pengumuman ini menghapuskan beberapa kekeliruan yang timbul berhubung isu ini baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Zafrul berkata Kementerian Kewangan telah mencapai kata sepakat dengan industri perbankan, dimana sebarang bentuk caj tambahan akan dilupuskan bagi semua pinjaman sewa beli.

Langkah ini berkuat kuasa bagi pinjaman sewa beli di bawah skim konvensional dan Shariah.

BACA: Pusingan U, kini bank kenakan faedah moratorium ke atas sewa beli

BACA: BNM: Persepsi jumlah bayaran balik pinjaman sewa beli tidak berubah adalah salah

Ini bermakna, peminjam boleh menyambung pembayaran ansuran seperti biasa berdasarkan terma-terma perjanjian dengan bank masing-masing, dengan tempoh pembiayaan ditambah enam bulan sekiranya peminjam memilih untuk mengambil moratorium tersebut.

Pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan orang ramai boleh mengambil moratorium pinjaman, yang membolehkan mereka menangguhkan pembayaran ansuran selama enam bulan dari April hingga September 2020 tanpa sebarang faedah tambahan dikenakan.

Pengumuman ini dibuat sebagai sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bagi meringankan beban kewangan rakyat akibat impak ekonomi COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun baru-baru ini, timbul kekeliruan sama ada faedah tambahan akan tetap dikenakan bagi pinjaman sewa beli, selepas Bank Negara Malaysia dan Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) mengeluarkan beberapa kenyataan baharu.

Kebiasaannya, pinjaman sewa beli digunakan bagi pinjaman pembelian kenderaan.

Peminjam boleh berhubung dengan bank masing-masing untuk sebarang maklumat lanjut.