LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.10 peratus yang bakal dimanfaatkan kira-kira sembilan juta pendepositnya.

Agihan keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 itu lebih tinggi berbanding 3.05 peratus pada 2019.

Agihan keuntungan bagi tahun lalu membabitkan jumlah RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, pihaknya bersyukur dengan prestasi kewangan TH pada tahun lalu yang kekal positif meskipun persekitaran ekonomi negara dan dunia berada dalam keadaan tidak menentu sejak penghujung 2019 akibat pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, pendeposit TH dapat menikmati keuntungan lebih baik bagi tahun lalu walaupun berdepan ekonomi yang kurang baik tahun lalu.

“Sebagai institusi yang memegang amanah mengurus hampir RM77 bilion deposit umat Islam Malaysia, TH akan terus memastikan dana ini dilaburkan dengan selamat supaya kekal mampan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Jumlah deposit di TH kini mencecah RM76.7 bilion setakat 26 Februari lalu iaitu paras tertinggi dalam sejarah, sekali gus mencerminkan keyakinan pendeposit terhadap TH terus kekal utuh.

TH ditubuhkan pada 1963 dengan tujuan untuk membantu umat Islam Malaysia menyimpan wang sedikit demi sedikit bagi menyempurnakan rukun Islam kelima.

Pada masa sama, TH turut melunaskan pembayaran zakat RM106.2 juta bagi tahun lalu berbanding RM86 juta tahun sebelumnya.

Oleh itu, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima mereka.

Pembayaran zakat ini akan memberi manfaat kepada golongan asnaf yang memerlukan di seluruh negara.

Sementara itu, urus niaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula jam 8 malam tadi sehingga 12 tengah hari ini bagi melancarkan urusan agihan keuntungan.

Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing selepas 12 tengah hari ini menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB.