hm0605tfp

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung sejak Mac lalu membuka peluang usahawan menjana pendapatan tambahan melalui OneCENT, platform teknologi kewangan mudah alih.

Pengarah Urusan TFP Solutions Berhad (TFP), Datuk Hussian A Rahman berkata, kadar kepenggunaan platform OneCENT sepanjang PKP didapati sangat menggalakkan.

“OneCENT yang disediakan oleh TFP membawakan ekosistem untuk usahawan melaksanakan gaya hidup tanpa tunai sambil menikmati ganjaran dalam bentuk rebat tunai dan pelbagai insentif.

“Kami juga merancang untuk memberi komisyen bagi pembayaran bil yang dibuat melalui platform OneCENT serta bayaran rujukan untuk OTRemit (pengiriman wang luar negara oleh pekerja asing),” katanya.

Menurutnya, melalui khidmat dompet digital OneCENT, pelanggan juga boleh melakukan pembelian tanpa tunai dengan peniaga yang dilantik.

“Kami juga merancang untuk memperkenalkan pilihan kad VISA prabayar untuk pengguna mengeluarkan rebat tunai dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank tempatan dan luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, TFP menganggarkan terdapat lebih dua juta warga Malaysia atau lapan peratus daripada 24 juta rakyat dewasa negara ini yang tidak mempunyai akaun bank.

“TFP bercadang untuk meningkatkan usaha untuk mempromosikan OneCENT dengan lebih agresif sebaik saja PKP ditamatkan.

“Kami meletakkan sasaran sembilan juta penduduk luar bandar serta sejumlah 3.8 juta pekerja warga asing dari Bangladesh, Indonesia dan Nepal yang kini berkhidmat di serata Malaysia,” katanya.

Menurutnya, inisiatif OneCENT melengkapkan satu lagi produk teknologi kewangan TFP iaitu OneCALL yang mula diperkenalkan sejak tahun lalu melalui persetujuan penjenamaan bersama dengan TuneTalk dalam menyasarkan perkhidmatan kepada populasi Malaysia yang masih belum mempunyai akaun bank.

“TFP menyesuaikan OneCALL untuk memenuhi cabaran yang dihadapi oleh pasaran ini dengan menawarkan ciri unik seperti kiriman wang, ATM maya, PIN game, alat gaya hidup, pembayaran bil serta program usahawan B40,” katanya.