PENERAJU keperluan isi rumah, Harvey Norman Malaysia yakin untuk terus mengukuhkan perniagaan di 24 cawangannya di seluruh negara biarpun berdepan keperluan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan susulan penularan Covid-19 ketika ini.

Pengurus Besar Bahagian Elektriknya, Ian Bushy Martin berkata, tidak dinafikan segmen perniagaan dalam talian syarikat menyaksikan peningkatan ketara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa Mac lalu.

Walau bagaimanapun, katanya, pihaknya melihat beberapa elemen dalam urus niaga mempengaruhi pelanggan untuk kekal memilih datang ke premis bagi melakukan pembelian.

“Kami mempunyai perniagaan dalam talian yang cukup maju untuk kemudahan pengguna mendapatkan keperluan masing-masing ketika berada di rumah sepanjang tempoh mencabar ini.

“Selain barangan komputer bagi tujuan bekerja dari rumah, turut mendapat sambutan adalah perkakasan dapur.

“Namun kami dapati pelanggan masih mahu dan selesa untuk membeli di premis. Mereka ingin berinteraksi dengan manusia secara bersemuka dan meminta khidmat nasihat mengenai sesuatu produk.

“Justeru amat penting untuk perniagaan secara bersemuka di cawangan diberi tumpuan dan pada masa sama perniagaan dalam talian tidak dikecualikan kemajuannya,” katanya kepada pemberita.

Ditemui pada sesi penyerahan sumbangan komputer riba dan juadah berbuka puasa buat warga Hospital Kuala Lumpur (HKL), beliau menjelaskan, semua cawangan Harvey Norman di seluruh Malaysia kini sudah dibuka dengan waktu operasi berbeza mengikut kawasan.

Kata beliau, setiap cawangan semestinya memberi penekanan kepada aspek pematuhan SOP termasuk memeriksa suhu pelanggan dan amalan penjarakan sosial antara pelanggan dan kakitangan bertugas selain proses nyah kuman secara kerap.

“Kami mengikut SOP yang ditetapkan dengan sangat berhati-hati bagi memastikan keselamatan bukan saja dalam kalangan pelanggan malah kakitangan kami sendiri.

“Saya kira kekuatan kami terletak pada kepelbagaian barangan keperluan isi rumah yang disediakan dengan memainkan peranan sebagai satu pusat setempat untuk semua penyelesaian.

“Promosi Aidilfitri masih berterusan sehingga 2 Jun dan tawaran faedah kosong peratus juga tersedia untuk bank yang mengambil bahagian,” katanya.

Ditanya jika Harvey Norman Malaysia ingin menyertai platform dalam talian lain bagi memperluas jaringan perniagaan, Martin berkata, setakat ini tiada perancangan ke arah itu.

“Kami mempunyai saluran dalam talian kami sendiri dan gembira dengan perkembangannya ketika ini,” katanya.