SEMPENA Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd memberi tumpuan tambahan kepada pembekal perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membekalkan pelbagai makanan ringan kegemaran tempatan.

Pengarah Produk Tesco, Kenneth Chuah berkata, Tesco sudah lama menjadi penyokong PKS dan jenama tempatan.

“Ini dibuktikan melalui promosi berterusan kami untuk produk buatan tempatan di cawangan kami, malah, sekitar 80 peratus produk Tesco Own Brand kami dihasilkan PKS tempatan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menganggap menjadi tanggungjawab pengendali pasar raya besar untuk membantu pembekal PKS tempatan dengan memberikan mereka sokongan tambahan, kerana banyak daripada mereka terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Sebagai peruncit dengan 60 cawangan di seluruh negara, pembekal PKS kami mendapat pendedahan yang membantu membawa jenama mereka ke tahap yang lebih tinggi dalam kempen Raya Jimat, Raya Selamat ini,” katanya.

Dua daripada PKS yang buat pertama kali bergabung dengan Tesco adalah pengedar, Yosh Ventures Sdn Bhd dan pemborong makanan ringan Malaysia, DNS Kacang Puteh Sdn Bhd.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yosh Ventures, Isa Johari berkata, pihaknya gembira bekerjasama dengan Tesco, Ramadan ini dengan membawa pembekal berskala kecil seperti pembuat kerepek berpusat di Selangor, Jars Manufacturing dan pembuat buah bijan berpusat di Kelantan, Kak Ha Enterprise.

“Kedua-dua pembekal ini milik keluarga dan beroperasi langsung dari dapur mereka atau fasiliti kecil di rumah mereka.

“Ini usahawan rajin mencari peluang besar meningkatkan jenama dan pendedahan mereka. Dengan mempunyai produk mereka di rak Tesco di seluruh Malaysia, mereka dapat meningkatkan penjualan dan pengiktirafan jenama produk mereka,” katanya.

Yosh Ventures ditubuhkan pada 2016 dan kini mengedarkan produk dari sekitar 15 PKS mikro dari seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah DNS Kacang Puteh, Nerumal Kumar berkata, pihaknya berbesar hati produk syarikatnya terdiri daripada muruku dan kacang pedas menjadi sebahagian kempen Ramadan Tesco.

“Apabila memikirkan sambutan hari raya, ramai memikirkan ketupat dan rendang tetapi bukan muruku. Namun muruku kini menjadi makanan ringan kegemaran dan kami gembira rangkaian produk kami kini tersedia untuk pelanggan Tesco,” katanya.

Sejak awal tahun ini, Tesco telah menambahkan 12 PKS baru ke raknya sebagai sebahagian daripada sokongan terhadap industri perniagaan tempatan.

Sementara itu, kempen Raya Jimat, Raya Selamat sedang berlangsung di semua cawangan Tesco dan platform atas talian termasuk Tesco Online, Lazada, dan Shopee hingga 30 Julai 2020.