TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan kempen Raya Jimat, Raya Selamat, dalam mengharungi perubahan keperluan orang ramai ketika menjalani keadaan normal baharu yang ditimbulkan oleh pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie berkata, ketika menyambut bulan suci Ramadan di kala cabaran Covid-19 ini, pihaknya bertumpu kepada keperluan asas pelanggan untuk menguruskan kos hidup mereka, sambil memastikan diri dan keluarga mereka sentiasa sihat.

“Kempen Raya Jimat, Raya Selamat yang berlangsung dari 23 April hingga 11 Jun menawarkan penjimatan besar untuk membantu pelanggan menguruskan kos hidup mereka sambil mengekalkan penjarakan sosial bagi memastikan Hari Raya yang selamat dan bahagia,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini, Tesco turut melancarkan perkhidmatan Click & Collect di lapan cawangan.

“Perkhidmatan Click & Collect akan membolehkan pelanggan memesan melalui platform Tesco Online menggunakan akaun Tesco Online mereka sedia ada dan kemudian mengambil di cawangan pilihan mereka,” katanya.

Click & Collect akan ditawarkan di cawangan Tesco yang sudah mengendalikan perkhidmatan Tesco Online, iaitu Tesco Selayang, Mutiara Damansara, Cheras, Puchong, Desa Tebrau, Seberang Jaya, Ipoh Extra dan Melaka.

Click & Collect akan melengkapkan tawaran Tesco Online dan perkhidmatan berasaskan WhatsApp, Order & Collect.

PAUL Ritchie.

Click & Collect beroperasi sama seperti Tesco Online di mana pelanggan boleh memesan sehingga tiga minggu lebih awal. Pelanggan kemudian diminta untuk memilih slot waktu pengumpulan antara 1 hingga 6 petang setiap hari, dan pergi ke cawangan pilihan mereka untuk mengambil pesanan dalam masa dua jam dari slot waktu yang dipilih.

Untuk memastikan kemudahan kepada pelanggan, meja Click & Collect akan ditempatkan di pintu masuk cawangan Tesco supaya pelanggan dapat mengurangkan masa mereka di luar rumah.

Seperti di Tesco Online, pelanggan hanya boleh memesan barang sehingga 30kg melalui Click & Collect dan tiada bayaran tambahan dikenakan untuk perkhidmatan ini.

Kempen Raya Jimat, Raya Selamat berlangsung di semua 60 cawangan Tesco dan platform atas talian termasuk Tesco Online, Lazada dan Shopee.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19