TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd bekerjasama dengan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) membantu mereka yang memerlukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Terdahulu, sejak 2016, Tesco bekerjasama dengan Food Aid Foundation (FAF) dan Kechara Soup Kitchen dalam menyumbangkan makanan kepada golongan kurang berkemampuan.

Pengarah Perkhidmatan Korporat Tesco, Azliza Azmel berkata, kini pihaknya menjalin kerjasama dengan dua lagi NGO iaitu Kembara Kitchen dan RumahKita untuk meluaskan bantuan ketika PKP dilaksanakan.

“Kami sentiasa mencari jalan terbaik untuk membantu komuniti yang memerlukan terutama ketika PKP dilaksanakan.

“Sebagai peruncit, kami dapat membantu menyediakan produk makanan dan dengan kerjasama daripada rakan NGO, makanan dapat disalurkan kepada individu yang memerlukan,” katanya.

Menurutnya, Tesco menyedari ada rakyat yang tidak dapat menyimpan bekalan makanan kerana tidak berkemampuan.

“Oleh itu, Tesco bekerjasama dengan FAF menyediakan barang keperluan asas seperti beras, minyak masak dan makanan dalam tin kepada rumah kebajikan di seluruh negara,” katanya.

Antara rumah kebajikan yang menerima manfaat hasil kerjasama ini adalah Rumah Anak Yatim Shifa, Rumah Anak Yatim At-Taqwa, Elshaddai Refugee Learning Center, Persatuan Rumah Kebajikan Rita, Rumah Amal Limpahan Kasih, Rumah Perlindungan Sosial NCWO-YWCA, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Ekliptik Klang‎, Persatuan Kebajikan Rumah Victory Malaysia, Pusat Jagaan Ebenezer Home dan Persatuan Kebajikan Rumah Grace Klang.

Dalam pada itu, sebagai tanda ucapan terima kasih kepada barisan hadapan, Tesco menyediakan kelengkapan dan makanan kepada banyak hospital di seluruh negara serta mengedarkan makanan kepada polis dan tentera.

Beliau berkata, Tesco turut bekerjasama dengan Kembara Kitchen menyediakan lebihan daging, ayam dan makanan laut dua kali seminggu untuk memastikan haiwan yang ditempatkan di Zoo Negara tidak kelaparan

Sementara itu, Pengarah Operasi FAF, Afraz Said berkata, pihaknya memerlukan sokongan untuk memenuhi permintaan bekalan makanan untuk mereka yang terkesan ketika PKP.

“Tesco banyak membantu menyediakan bekalan makanan untuk kami salurkan bantuan ini kepada insan memerlukan. Kami harap syarikat korporat dapat contohi usaha Tesco ini,” katanya.

Bagi pengasas Kembara Kitchen, William Cheah, sokongan daripada syarikat korporat seperti Tesco dapat membantu lebih ramai individu atau keluarga yang terjejas.

“Kerjasama antara NGO dan korporat ini membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan.

“Kami sangat berbesar hati dapat bekerjasama Tesco untuk membantu Zoo Negara sekali gus mengelakkan pembaziran makanan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan