PENJUAL luar talian yang sering dikunjungi pengguna sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah pasar raya tempatan, 99 Speedmart dan Tesco manakala penjual dalam talian utama adalah Tesco Online dan Mydin Online, menurut kaji selidik dijalankan Vase.ai.

Kaji selidik dalam talian itu disertai 1,082 responden rakyat Malaysia di seluruh negara untuk menilai tingkah laku pembelian pengguna.

Berdasarkan kaji selidik itu, 27 peratus daripada pengguna masih menyertai jualan dalam talian dan promosi barangan bukan makanan dengan 15 peratus daripada mereka bersetuju barangan yang dijual dalam talian ketika ini adalah lebih murah.

“Bagaimanapun, 29 peratus daripada pengguna menunjukkan belian dalam talian lebih mahal, kemungkinan disebabkan bekalan yang terhad,” katanya.

Menurutnya, kaji selidik menunjukkan peningkatan minat untuk mendapatkan produk yang mengekalkan kesejahteraan pengguna apabila 91 peratus daripada mereka membeli barangan kebersihan diri dan 86 peratus pengguna membeli penutup muka dan cecair pembasmi kuman atau produk disinfektan.

Sebanyak 69 peratus responden pula membelanjakan wang mereka untuk barangan keperluan dan 27 peratus lagi turut mendapatkan produk selain makanan khususnya produk promosi dan diberikan diskaun.

Katanya, 23 peratus responden berasa selamat meneruskan perkhidmatan dan pemasangan di rumah manakala 14 peratus meneruskan perkhidmatan penyelenggaraan produk penapis air sepanjang tempoh ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan