JENAMA e-dompet terkemuka, Boost dinamakan sebagai syarikat fintech paling pantas berkembang di rantau Asia/Pasifik oleh International Data Corporation (IDC) Financial Insights melalui senarai 2020 FinTech Fast 101.

Diasaskan pada Januari 2017 di Malaysia, Boost terus menerajui pasaran e-dompet dan kini mempunyai 7.3 juta pengguna serta lebih 152,000 senarai peruncit di seluruh negara sama ada yang beroperasi dalam atau luar talian.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khairil Abdullah berkata, pihaknya bangga menerima pengiktirafan berkenaan dan ia menunjukkan komitmen yang diberi membuahkan hasil.

“Ini adalah bukti kepada usaha kami dalam merevolusi cara pengguna menjalankan transaksi setiap hari.

“Dengan pelaksanaan program e-Tunai Rakyat baru-baru ini selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami menjangka Boost terus berkembang untuk memenuhi keperluan pengguna di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, Boost sentiasa menjadi yang terawal dalam membina landskap pembayaran tanpa tunai di Malaysia meliputi pelbagai segmen.

“Kami menyediakan e-pembayaran untuk perkhidmatan kesihatan, insurans, tempat letak kenderaan sehinggalah ke e-derma.

“Malah, kami juga akan terus meningkatkan keupayaan memandangkan lebih ramai pengguna beralih ke e-pembayaran selaras dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggalakkan pembayaran tanpa tunai bagi mengekang penularan pandemik Covid-19,” katanya.