TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd kini menerima pembayaran menggunakan e-dompet di semua medan seleranya untuk membantu peniaga makanan dan minuman (F&B) tempatan bersaing di pasaran digital.

Sehingga September 2020, Tesco mengendalikan 56 medan selera yang terletak di dalam cawangannya di seluruh negara.

Ketua Pegawai Operasi Tesco, Sushmita Paul berkata, menurut Kajian Impak Mastercard yang diterbitkan pada Jun tahun ini, wabak Covid-19 mempercepat penggunaan e-dagang, pembayaran digital dan pilihan untuk aktiviti dalam talian.

“Laporan itu menyatakan penembusan e-dompet Malaysia sebanyak 40 peratus yang tertinggi di Asia Tenggara di mana e-dompet menjadi pilihan pembayaran utama bagi mereka yang berusia bawah 35 tahun.

“Ia bukan rahsia lagi bahawa kami di Tesco sudah lama menjadi penyokong produk dan pembekal tempatan dan sokongan ini dipaparkan dalam lebih dari 600 pembekal tempatan yang sudah membekalkan ribuan produk ke rangkaian 62 cawangan kami di seluruh negara.

“Sokongan kami juga diberikan kepada semua 236 penjual F&B di medan selera kami,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, pihaknya berbesar hati untuk menawarkan pembayaran e-dompet di medan selera Tesco kerana ia bukan sahaja membolehkan penjual F&B bersaing di ruang pasaran yang semakin digital.

“Ia juga akan memastikan keselamatan tambahan bagi pelanggan kami kerana mereka dapat mengurangkan kontak hubungan melalui bayaran tanpa tunai,” katanya.

Bagi membantu pelanggan untuk menguruskan kos sara hidup dalam mengharungi Covid-19, Tesco juga memperkenalkan juadah makanan dengan harga permulaan serendah RM5 di semua medan seleranya.

Medan selera Tesco kini menerima pembayaran dari enam e-dompet berbeza iaitu Boost, GrabPay, kiplePay, Touch n Go e-Wallet, MCash, AliPay dan Maybank QRPay.