PENCARI kerja perlu melengkapkan diri dengan kemahiran temuduga maya kerana kebanyakan majikan kini mula beralih kepada cara berkenaan untuk memburu bakat baharu.

Ketua Sumber Manusia, Innovation Associates Consulting Sdn Bhd (IAC), Mohd Ghaus Omar berkata, dalam keadaan semasa peratusan berjaya dalam temu duga kerja turut bergantung kepada kemahiran calon menggunakan teknologi.

“Ciri ini menjadi kelebihan yang perlu ada bagi setiap calon yang mahu berjaya dalam temu duga kerja.

“Calon juga perlu pastikan sambungan Internet lancar ketika sesi temu duga.

“Selain itu, calon juga perlu memuat turun aplikasi yang digunakan lebih awal bagi memastikan kelancaran proses.

“Saya pernah berdepan keadaan apabila calon gagal memuat turun aplikasi yang digunakan beberapa minit sebelum temu duga walaupun dimaklumkan lebih awal,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pengurus Pembangunan Tenaga Kerja Dagang NeXchange Bhd, Zety Zalina Mohd Zain berkata, kunci kejayaan temuduga video ialah calon perlu bersedia melengkapkan diri dengan alat teknologi yang diperlukan dan mengujinya terlebih dahulu.

“Pastikan anda bersedia sama seperti temu duga secara langsung. Sediakan jawapan sesuai untuk soalan yang sering ditanya supaya tidak tersekat semasa temu duga dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu, Dagang NeXchange berkata, pihak pengambilan boleh memanfaatkan pendigitalan untuk penambahbaikan proses seperti Dagang Net eScroll, platform inovatif disokong blockchain untuk majikan, siswazah, universiti dan penyedia latihan untuk mengesahkan sijil akademik dan latihan.

Aplikasi boleh didapati melalui https://escroll.dagangnet.com/ dan aplikasi mudah alih di Google Play Store, perkhidmatan itu dapat mencegah pemalsuan, tidak seperti dokumen berasaskan kertas yang tradisional.