UEM Sunrise Berhad, pemaju hartanah terkemuka di Malaysia berjaya mencatatkan nilai lebih RM400 juta dalam jualan dan tempahan bagi tempoh kurang dari dua bulan selepas pelancaran kempen The Happy Chase.

The Happy Chase adalah usaha UEM Sunrise dalam menyahut Kempen Pemilikan Rumah (KPR) oleh kerajaan iaitu sebahagian daripada Penjana (Rancangan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membendung penyebaran pandemik Covid- 19.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, Kempen The Happy Chase bertujuan membantu mereka yang mengalami masalah pemilikan rumah dengan menjanjikan potongan harga dan rebat yang menarik berserta proses pembelian yang mudah, menerima sambutan hangat.

“Kempen ini menawarkan yuran tempahan serendah RM1, pengecualian yuran guaman dan pelbagai ganjaran lain seperti rebat dan subsidi tambahan.

“Di samping itu, pembeli juga akan menikmati pelbagai hadiah menarik dengan setiap pembelian yang dibuat seperti pengecualian yuran penyelenggaraan selama dua tahun, kabinet dapur dan perkakas rumah percuma untuk projek tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, dalam peningkatan penjualan yang ketara sejak awal PKP Pemulihan, projek popular termasuk Residensi AVA, suite kondominium menyaksikan kadar pengambilan sebanyak 55 peratus daripada bangunan yang pertama dari dua menara.

Residensi AVA membentuk fasa pertama Kiara Bay, satu pembangunan seluas 73 ekar (29.54 hektar) di tepi tasik oleh UEM Sunrise di Kepong.

Sementara itu, Frischia, rumah teres kontemporari dua tingkat di Serene Heights Bangi dan fasa 1A Senadi Hills di Iskandar Puteri menyaksikan 91 dan 80 peratus unit habis dijual sejak dilancarkan pada Julai lalu.

“Kami sedar terhadap permintaan daripada pembeli dan keyakinan mereka dengan produk kami.

“Justeru, kami berjaya mengubah semua minat ini kepada tempahan sebenar. Ini menunjukkan usaha kami membuahkan hasil,” katanya.