Sepang: Model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak baharu, Proton X50 berjaya mencatatkan tempahan melepasi sasaran 4,000 unit yang ditetapkan tahun ini walaupun belum dilancarkan secara rasmi.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Roslan Abdullah berkata, pihaknya tidak menjangkakan sambutan ke atas model yang dinanti-nantikan rakyat Malaysia itu sangat memberangsangkan berbanding model lain keluaran Proton.

“Ini sesuatu yang baharu kepada Proton. Kebiasaannya pelanggan hanya mengesahkan tempahan apabila melihat model yang ingin dibeli dengan mata dan kepala sendiri. Namun, situasi yang dihadapi kami untuk Proton X50 berlainan.

PROTON X50 yang menarik minat ramai rakyat Malaysia.
PROTON X50 yang menarik minat ramai rakyat Malaysia.

“Pelanggan langsung tidak pernah melihat apatah lagi menyentuh model ini di pusat pengedaran Proton di seluruh negara, tetapi membuat tempahan hanya berdasarkan laporan media dan gambar yang tersebar di media sosial.

“Apa yang boleh diperkatakan mengenai model ini adalah sambutan hebat yang kami tidak pernah jangka. Namun, saya memohon maaf kerana tidak boleh mendedahkan jumlah sebenar tempahan, tetapi ia melebihi sasaran jualan (4,000 unit) menjelang akhir tahun ini,” katanya pada majlis prebiu prestasi dan aktiviti pemanduan Proton X50 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Roslan berkata, model berkenaan juga menerima tahap keselamatan lima bintang melalui Program Penilaian Kereta Baharu Asian (Asean NCAP) yang memberi nilai tambah terbaik.