TEMPAHAN untuk model versi baharu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V kini dibuka di semua 101 rangkaian pengedar di seluruh negara.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, sejak dilancarkan pada 2017, lebih 36,000 unit model CR-V generasi kelima itu sudah terjual.

“CR-V menyumbang 19 peratus daripada keseluruhan segmen SUV bukan nasional menjadikannya salah satu daripada SUV yang popular dan digemari dalam pasaran.

“CR-V Baharu ini dijangka akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini dan akan menjadi peneraju dalam segmen SUV,” katanya.

CR-V mencatat sejarah apabila menjadi model pemasangan tempatan (CKD) pertama yang dikeluarkan di kilangnya di Melaka pada tahun 2003.

“Ia terus menjadi peneraju dalam segmen SUV dan pasaran dengan lebih 100,000 unit terjual sejak daripada itu. Kami yakin CR-V baharu ini bukan akan meneruskan rekod terbaiknya, tetapi mengekalkan statusnya sebagai yang pertama dalam segmen SUV bukan nasional,” katanya.

CR-V baharu itu didatangkan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo, ia mampu menghambur sehingga 193 PS dan tork 243 Nm, menjadikannya lebih berkuasa daripada prestasi enjin 2.4 liter.

Model itu juga dilengkapi dengan ciri keselamatan maju yang menyediakan perlindungan komprehensif untuk pemandu dan penumpang menerusi Honda SENSING yang mengandungi lapan ciri.

Antaranya termasuk Adaptive Cruise Control (ACC), Low-Speed Follow (LSF), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation (RDM) dan Lane Departure Waring (LDW).