KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) melalui Tekun Nasional akan menyalurkan RM200 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Tambahan (Prihatin Tambahan) kepada usahawan mikro yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Tekun Nasional mewujudkan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) bagi menyalurkan peruntukan RM200 juta ini.

“Seramai 33,000 usahawan mikro disasarkan akan mendapat manfaat daripada skim CBRM ini dengan nilai maksimum pembiayaan sehingga RM10,000.

“Skim ini pembiayaan suntikan modal pusingan kepada usahawan mikro untuk memulih dan memulakan semula perniagaan sedia ada yang terjejas dan tiada caj akan dikenakan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, Skim CBRM ini terbuka kepada semua sektor perniagaan dengan tempoh bayaran balik maksima sehingga tiga tahun dan usahawan juga akan diberi penangguhan bayaran balik enam bulan.

“Usahawan disenarai hitam juga boleh dipertimbangkan permohonan mereka namun ia tertaluk kepada kes individu,” katanya.

Menurutnya, kementerian berharap Skim CBRM ini akan dapat membantu meringankan beban usahawan mikro dan seterusnya merancakkan kegiatan ekonomi Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengumumkan pakej Prihatin Tambahan bernilai RM10 bilion yang antara lain untuk membantu usahawan PKS.

Melalui pakej berkenaan, usahawan boleh memohon pembiayaan antaranya melalui Tekun Nasional yang diberikan peruntukan sebanyak RM200 juta.

Selain itu, usahawan mikro juga berpeluang mendapatkan bantuan melalui Geran Khas Prihatin berjumlah RM2.1 bilion.

Geran RM3,000 untuk setiap syarikat mikro itu memanfaatkan hampir 700,000 PKS mikro di seluruh negara.