PENGGUNA berpeluang menikmati ganjaran tambahan lebih RM300 apabila menebus insentif kredit RM50 e-Penjana melalui Touch ‘n Go eWallet.

Insentif kredit RM50 e-Penjana adalah inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang bermula 31 Julai 2020 hingga 30 September 2020 bagi membolehkan warga negara berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan tahunan kurang daripada RM100,000 menebus insentif berbentuk kredit e-dompet itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Ignatius Ong berkata, mereka yang menebus insentif kredit itu di platform berkenaan berpeluang menikmati ganjaran tambahan #LebihBanyakEkstra dengan nilai lebih RM300 apabila ia ditawarkan rakan niaga terdiri daripada pelbagai jenama besar, industri kecil dan sederhana serta perusahaan mikro dalam industri makanan dan minuman, sektor runcit, bahan makanan, fesyen, hiburan dan teknologi maklumat.

“Kami juga membenarkan rakyat Malaysia menggunakan penebusan kredit RM50 e-Penjana untuk membeli tag TNG RFID atau untuk bayaran tol.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan pihak kerajaan sekali lagi bagi melaksanakan e-Penjana dan berikhtiar mewujudkan ekosistem yang berfungsi secara baik kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, ia selaras pendekatan kerajaan demi meningkatkan kembali ekonomi Malaysia melalui inisiatif pendigitalan, sekali gus memastikan manfaat melalui keterangkuman kewangan dan transaksi lebih selamat.

“Pelan berteraskan transaksi selamat tanpa sentuh itu mendorong penggunaan berterusan serta merealisasikan visi masyarakat tanpa tunai di negara ini.

“Muat turun aplikasi MySejahtera, kemas kini akaun Touch ‘n Go eWallet, selesaikan proses dan tuntutan eKYC e-Penjana RM50 anda dengan kami hari ini.

“Kami juga harap dapat membawa lebih banyak peluang keterangkuman kewangan untuk rakyat Malaysia dalam beberapa bulan akan datang, jadi nantikannya juga,” katanya.

Touch ‘n Go eWallet juga menyeru pengguna baharu dan sedia ada untuk melengkapkan proses pengesahan akaun mereka sekiranya belum dibuat bagi membolehkan mereka menebus insentif RM50 e-Penjana.

Setakat ini, lebih 11 juta pengguna dan 220,000 rakan niaga di platform berkenaan dan penebusan boleh dilakukan dan diguna pakai untuk pelbagai transaksi sepanjang tempoh sah ia boleh digunakan.