Kuala Lumpur: Platform sewaan kediaman digital, Speedhome dengan kerjasama syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah, KYY Home memberi kelonggaran sewa bernilai RM500,000 bagi membantu penyewa menangani kesan Covid-19.

Antara sebahagian kelonggaran sewaan yang diberikan adalah sewa percuma dua bulan kepada penyewa.

Ketua Pegawai Eksekutif Speedhome, Wong Whei Meng berkata, fokus utama program itu untuk membantu penyewa yang pendapatannya terjejas akibat pandemik berkenaan.

“Data kami menunjukkan lebih daripada 10 peratus penyewa tidak dapat meneruskan bayaran sewa rumah kerana pekerjaan dan pendapatan mereka terkesan dengan impak Covid-19.

“Justeru, Speedhome dan KYY Home berganding bahu menyalurkan bantuan melalui Pakej Bantuan Sewaan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat bagi meringankan beban kewangan penyewa,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Pengarah Urusan KYY Home, Marcus Low berkata, pemilik perniagaan dengan kewangan stabil mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat terutama dalam tempoh mencabar ini.

“Kami berbesar hati membantu sedikit sebanyak untuk meringankan beban kewangan penyewa dengan menawarkan sewa percuma dua bulan kepada mereka.

“Kami harap dapat membantu mereka dalam masa-masa sukar ini,” katanya.

Proses permohonan sewa percuma itu sangat mudah dengan penyewa hanya perlu log masuk akaun di Speedhome dan cari rumah mempunyai label KYY di dalam laman web kemudian menghantar permohonan sembang (chat request) selepas menonton video unit berkenaan.

Sekiranya penyewa berminat untuk menyewa rumah berkenaan, mereka boleh terus berpindah masuk.