MOONAZ Resources meneroka pasaran baharu dengan menawarkan perkhidmatan sewaan kolam renang mudah alih yang bertemakan taman air mini.

Pengarah Urusannya, Nurulmuna Mohd Jalani berkata, sebagai pengeluar pakaian renang patuh syariah, pihaknya memang terbabit menjual kelengkapan renang termasuk pakaian renang keluarga, kolam mudah alih serta pelampung.

Katanya, idea perkhidmatan baharu dikenali sebagai Pakej Moonaz Splash itu tercetus ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami menerima banyak permintaan daripada pelanggan yang menyatakan hasrat untuk menyewa kolam renang mudah alih ini.

“Akhirnya, pakej Moonaz Splash ini diperkenalkan dengan kadar sewaan hanya RM200 sehari (caj penghantaran RM50) dan setakat ini kami menerima sambutan begitu memberangsangkan.

“Malah, orang ramai lebih berminat untuk menyewa berbanding membeli set kolam ini kerana mudah, boleh terus digunakan dan selamat untuk kanak-kanak,” katanya kepada Bisnes Metro.

Nurulmuna berkata, pihaknya menyasarkan 30 pelanggan Moonaz Splash sebulan terutama di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, bagi segmen baju renang pula, syarikat menyaksikan permintaan semakin pulih dan prestasi terus meningkat.

Beliau berkata, setakat ini produk Moonaz dijual secara dalam talian dan turut menerima permintaan dari Brunei, Singapura, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Kami sentiasa mempelbagaikan produk Moonaz dan visi syarikat untuk memastikan jenama Moonaz dikenali sebagai pengeluar baju renang patuh syariah keluarga.

“Selain itu, kami turut mewujudkan Program Infaq di mana kami mempelawa mereka yang berminat untuk menaja baju renang bagi anak yatim, kanak-kanak autisme atau orang kurang upaya,” katanya.