AMANAH Saham Bumiputera (ASB) yang diperkenalkan pada 2 Januari 1990 dan diuruskan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), meraikan ulang tahun ke-30 bertemakan Aspirasi Anda, Amanah Kami.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, ASB berkembang menjadi tabung unit amanah terbesar negara dengan pelaburan yang meluas dalam pelbagai instrumen kewangan dan syarikat utama negara di Malaysia pada hari ini.

“Sepanjang tempoh 30 tahun ini juga, ASB memberi pulangan dividen dan bonus sebanyak RM151.9 bilion kepada pelabur, walaupun ada ketikanya berdepan krisis kewangan dan ekonomi yang sangat mencabar,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sehingga 15 Jun lalu, ASB mempunyai lebih 10 juta pemegang unit dengan 169 bilion unit dalam edaran.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, bagi menghargai pelabur yang menyokong ASB sejak 30 tahun lalu, pihaknya menganjurkan kempen dan peraduan pelaburan dengan tawaran hadiah bernilai lebih RM1 juta.

“Kempen pertama ialah Kumpul dan Menang yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM1 juta manakala kempen kedua ialah Jom Auto Labur yang menawarkan Proton Saga 1.3L Premium AT sebagai hadiah utama.

“Tempoh kempen ialah dari 1 Ogos hingga 17 Disember 2020,” katanya.

Menurutnya, untuk peluang memenangi hadiah menerusi kempen Kumpul dan Menang, peserta hanya perlu membuat pelaburan minimum RM30 untuk satu mata penyertaan atau tiga mata penyertaan jika pelaburan dibuat menerusi portal dan aplikasi myASNB.

“Menerusi kempen Jom Auto Labur pula, pengguna kemudahan Auto [email protected] sedia ada hanya perlu menambah potongan bulanan minimum dalam ASB sebanyak RM30 daripada potongan sedia ada, manakala pengguna baharu pula perlu menetapkan potongan bulanan minimum RM60.

“Untuk mula menggunakan kemudahan Auto Labur, pelabur perlu terlebih dahulu mendaftar dalam talian di www.myasnb.com.my untuk menjadi pengguna portal myASNB.

“Lebih banyak mata penyertaan yang dikumpul, lebih besarlah peluang untuk menang. Apa yang perlu dilakukan pelabur ialah melabur dalam ASB untuk mengumpul sebanyak mungkin mata penyertaan,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut membuka penyertaan untuk peraduan video pendek ASB dengan tarikh tutup penyertaan pada 30 September 2020.