JURANG kemahiran dimiliki individu dan yang diperlukan industri mencetuskan sedikit kesukaran dalam usaha pendigitalan pelbagai industri di Malaysia.

Walaupun banyak peluang baharu muncul khususnya selepas pemerkasaan ekonomi digital, namun isu kemahiran tenaga kerja menjadi perkara yang perlu diutamakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri berkata, bagi memastikan masalah itu dapat diatasi, MDEC menganjurkan Minggu #MyDigitalWorkforce berlangsung Isnin hingga Jumaat ini (24 Ogos hingga 28 Ogos) menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan digital sepanjang lima hari penganjurannya secara maya.

Katanya, matlamat MDEC memperkasakan rakyat dengan kemahiran digital untuk membantu mereka kekal relevan dan bersedia untuk memacu ekonomi digital Malaysia.

“Ia menandakan pelancaran rasmi Gerakan #MyDigitalWorkforce yang bertujuan menyepakati tindakan dan kerjasama antara sektor awam dan swasta, melatih semula tenaga kerja untuk pekerjaan ekonomi digital dan memudahkan pemadanan pekerjaan.

“Inisiatif yang pertama ialah Digital Skills Training Directory (DSTD) yang bertujuan untuk memberi panduan kepada warga Malaysia berkenaan kursus atau pensijilan yang boleh mereka sertai bagi melengkapkan diri untuk kerjaya dalam bidang digital,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Surina berkata, inisiatif lain yang turut dilancarkan ialah #MyDigitalWorkforce Jobs Platform iaitu platform agregator pekerjaan digital yang bertujuan memadankan peluang kerjaya digital dengan bakal pekerja yang berpotensi.

Melalui acara itu, lebih 100 syarikat pelbagai industri termasuk DHL Motorola Solutions, AirAsia, Lenovo, TNG Digital dan DIALOG menawarkan peluang pekerjaan.

“Bagi mereka yang mahu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, pelbagai webinar oleh 62 pakar industri digital turut disediakan. Mereka akan berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam subjek seperti sains data, keselamatan siber, animasi, pembangunan permainan digital dan perisian serta banyak lagi,” katanya.