BANK Islam menyasarkan pertambahan agihan pembiayaan berjumlah RM1 bilion dalam tempoh 12 bulan akan datang menerusi penyelesaian perbankan lengkap untuk memenuhi keperluan kewangan kira-kira 25,000 ahli persatuan profesional kesihatan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, kerjasama Bank Islam dengan persatuan profesional kesihatan ini adalah platform yang baik bagi mengembangkan program pembiayaan dengan badan profesional di Malaysia.

Katanya, jalinan kerjasama ini juga adalah satu lagi sokongan yang disediakan pihaknya bagi merangsang semula ekonomi negara, khasnya susulan penularan Covid-19 yang memberi kesan terhadap kehidupan masyarakat dan perniagaan.

“Dengan permintaan yang meningkat terhadap perkhidmatan dan produk berkaitan kesihatan, Bank Islam berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menyediakan penyelesaian perbankan lengkap bagi memenuhi keperluan ahli persatuan terbabit,” katanya pada sidang media selepas menandatangani memorandum persefahaman di sini, semalam.

Enam pertubuhan berkenaan adalah Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Persatuan Optometrist Malaysia (AMO), Persatuan Pengamal Pergigian Swasta dan Persatuan Veterinari Malaysia (VAM).

Mohd Muazzam berkata, pihaknya kini mempunyai 7,500 pelanggan daripada golongan profesional kesihatan dan melalui kerjasama itu, pihaknya berharap jumlah terbabit akan meningkat kepada 12,0000 pelanggan.

Katanya, golongan profesional kesihatan adalah peminjam yang baik berdasarkan rekod pembayaran pembiayaan sebelum ini.

“Dua portfolio pelanggan runcit terbesar kami buat masa ini ialah kakitangan kerajaan dan pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jadi kolaborasi ini memberi peluang kepada kami untuk menceburi segmen pasaran baharu iaitu golongan profesional.

“Kami turut melihat untuk mengadakan kerjasama dengan pertubuhan profesional lain termasuk akauntan, jurutera dan arkitek,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan moratorium, beliau berkata, pihaknya sudah menghantar notis menerusi mesej pesanan ringkas sebanyak dua kali kepada semua 380,000 pelanggan runcitnya untuk menawarkan fleksibiliti pembayaran balik pembiayaan.

“Setakat ini jumlah permohonan diterima daripada pelanggan runcit adalah antara 11,000 hingga 12,000 orang.

“Kami memang tidak menjangkakan jumlah permohonan yang tinggi memandangkan portfolio pelanggan kami lebih kepada kakitangan kerajaan dan GLC, namun jumlah permohonan diterima masih lebih rendah berbanding yang dijangka.

“Saya ingin menasihatkan pelanggan segera membuat permohonan sekiranya perlu kerana proses kelulusan tetap mengambil masa sehingga empat hari sekiranya semua dokumen lengkap, kami menyediakan banyak saluran permohonan termasuk secara online (dalam talian),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19