Kuala Terengganu: Kemerosotan ekonomi disebabkan pandemik Covid-19 menyaksikan banyak syarikat perniagaan terpaksa ‘gulung tikar’ dan memberhentikan pekerja, namun berlainan dengan seorang usahawan wanita di Terengganu yang mengambil langkah berani untuk membuka satu lagi cawangan bakeri.

Pengarah Urusan Ziq Bakery & Cake Sdn Bhd Suzana Salleh berkata, beliau membuka cawangan terbaharu di Gong Badak, Kuala Nerus itu pada Oktober tahun laludan setakat ini berjaya menyediakan 16 peluang pekerjaan kepada anak muda tempatan.

“Keputusan untuk membuka cawangan baharu dengan modal sebanyak RM500,000 ini bukannya mudah, namun saya yakin industri pembuatan kek, roti dan pastri ini mampu berkembang jauh dalam masa terdekat tambahan pula kesedaran masyarakat untuk mendapatkan produk yang halal dan thoyyiban semakin meningkat.

“Pandemik Covid-19 memang beri impak yang agak teruk terhadap ekonomi, namun ia juga mempunyai hikmah kepada usahawan untuk lebih kreatif, berani menukar model perniagaan yang lebih sesuai dengan keadaan semasa dan mencuba strategi baharu untuk kekal bertahan sekali gus menyelamatkan nasib pekerja syarikat,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Berkonsepkan bakeri kafe premium yang pertama di Terengganu, cawangan baharu ini juga menyediakan ruang makan minum yang luas serta pelbagai produk kek, roti dan pastri citarasa antarabangsa hasil pengalaman Suzana mengikuti kursus yang dianjurkan oleh beberapa cef di luar negara antaranya Rusia, Jepun, Korea, Itali, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Mengakui jualan syarikat terjejas teruk hingga merosot lebih 80 peratus sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0 baru-baru ini, Suzana berkata, syarikat mengambil pendekatan untuk mempelbagaikan produk jualan dengan pelbagai kaedah.

“Kami menghasilkan lebih banyak produk kek, roti dan pastri yang mampu milik serta menyediakan servis penghantaran ke rumah untuk memudahkan pelanggan, malah sistem penggiliran pekerja juga dilakukan untuk menjimatkan kos pengurusan syarikat.

“Penggunaan media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Instagram dimanfaatkan sepenuhnya untuk membuat siaran langsung pembuatan kek dan roti demi menambah keyakinan pelanggan sekali gus mengiklankan kelebihan premis kami dalam aspek kebersihan makanan serta status halal produk daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Alhamdulillah, sebaik sahaja kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri ketika PKPP tahun lepas, jualan kembali meningkat dan dapat kami gunakan untuk menampung kerugian yang dialami beberapa bulan sebelum itu,” katanya yang mempunyai 60 pekerja ketika ini.

Sebagai usahawan bumiputera, Suzana juga bersyukur dengan semua bantuan kerajaan yang pernah diterimanya sebelum ini daripada pelbagai agensi seperti SME Corporation Malaysia, Majlis Amanah Rakyat, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia.

“Tanpa bantuan kerajaan selama ini, mungkin agak sukar untuk saya ke tahap sekarang. Macam-macam bantuan dan geran saya pernah terima untuk pembelian mesin berteknologi tinggi, membantu aliran tunai dan modal pusingan syarikat serta bimbingan dari segi promosi dalam dan luar negara terutama ketika mula-mula bertapak dalam perniagaan pada tahun 2006.

“Ketika PKP tahun lepas juga, syarikat terpilih untuk terima manfaat Program Subsidi Upah dan Penjana Kerjaya (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara – Program Insentif Pengambilan Pekerja). Bantuan itulah ‘nyawa kedua’ syarikat untuk kekal bertahan ketika perniagaan merudum teruk akibat pandemik Covid-19 ketika itu,” katanya yang pernah mempunyai tujuh cawangan bakeri di empat daerah sebelum ini.

Harapannya, agar pandemik Covid-19 segera pulih seperti sedia kala supaya perancangan Ziq Bakery & Cake dapat dijalankan mengikut jadual yang telah disasarkan termasuk promosi di seluruh negara, penganjuran pelbagai kursus pembuatan kek untuk golongan asnaf dan anak yatim serta peningkatan kemahiran dalam kalangan kakitangan syarikat.