PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Kumpulan berkuatkuasa 11 Mei lalu.

Menerusi kenyataan media, pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak itu bagi menggantikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim yang meletakkan jawatan pada 7 Mei lalu.

“Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan Kumpulan Prasarana mempunyai keyakinan atas kewibawaan dan ketokohan Datuk Seri Tajuddin untuk memacu program transformasi sistem pengangkutan awam negara dan memartabatkan perkhidmatan pengangkutan awam Malaysia berkelas dunia.

“Lembaga Pengarah, pengurusan kanan dan seluruh warga kerja kumpulan juga ingin merakam ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Zaharah atas segala khidmat beliau sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Pengerusi Kumpulan Prasarana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berasal dari Kampung Gajah, Perak, Tajuddin adalah graduan Universiti Malaya dengan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) pada tahun 1972 dan memulakan karier dalam perkhidmatan awam pada tahun sama.

Selain itu, beliau juga berpengalaman luas dalam sektor perniagaan dan korporat sebelum menceburi bidang politik.

Beliau juga sebelum ini menjadi Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bermula 2013 hingga 2018.