BANK Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Tajuddin Atan sebagai Pengerusi baharunya berkuatkuasa esok menggantikan Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid yang tamat tempoh perkhidmatannya hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas sumbangan dan khidmat beliau yang tidak ternilai kepada Bank Muamalat.

“Beliau banyak menyumbang dalam memimpin pelaksanaan strategi baharu yang meletakkan Bank Muamalat pada landasan tepat untuk menyampaikan prestasi yang mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihak pengurusan dan kakitangan Bank Muamalat mengalu-alukan

penyertaan Datuk Seri Tajuddin Atan sebagai ahli Lembaga Pengarah baharu.

Di bawah kepimpinan beliau sebagai pengerusi yang baharu, Bank Muamalat berhasrat untuk terus menerapkan budaya risiko pematuhan Syariah untuk menjadi penyedia perkhidmatan kewangan Islam pilihan di negara ini.

Antara 2011 hingga 2019, Tajuddin berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif Bursa Malaysia Berhad.

Sebelum itu, beliau pernah menyandang jawatan pemimpin kanan di Kumpulan Perbankan RHB, Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan Bank Simpanan Nasional.