Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada e-dagang.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya mendapati ramai pengusaha PKS menggunakan platform dalam talian untuk memasarkan produk dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, katanya, ada juga pengusaha PKS yang tidak menggunakan platform berkenaan dan perniagaan mereka terjejas akibat penularan Covid-19.

“Justeru, kami berusaha membantu mereka bagi meningkatkan ekonomi peniaga. Saya tiada jumlah sebenar berapa ramai peniaga terjejas, tapi ia agak tinggi. Mereka memerlukan sokongan kerajaan dan rakyat dalam tempoh yang sukar ini.

“Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang dilancarkan kerajaan ini akan menjadi ‘talian hayat’ kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia dan Kempen Love Local bersama Petronas Dagangan Berhad (PDB) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, KBBM pada tahun ini akan bemberi memfokuskan dalam membantu dan menyokong industri tempatan menjana pendapatan serta memperoleh keuntungan berterusan.

ALEXANDER (kanan) melihat produk PKS pada Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia dan Kempen Love Local di Stesen Petronas Jalan Kolam Ayer Lama, Ampang, semalam.
ALEXANDER (kanan) melihat produk PKS pada Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia dan Kempen Love Local di Stesen Petronas Jalan Kolam Ayer Lama, Ampang, semalam.

“Kami mahu mereka ini terus mencatat keuntungan yang berterusan dan kekal menjadi pembekal produk di pasaran tempatan. Ia penting supaya setiap pekerja mereka dapat dikekalkan.

“Bayangkan sekiranya banyak perniagaan kecil terpaksa tutup, apa akan berlaku. Pastinya ramai yang akan hilang kerja,” katanya.

Menurutnya, KPDNHEP akan berusaha membantu peniaga tempatan mempromosi produk mereka sama ada jualan secara fizikal mahupun dalam talian.

Katanya, sokongan semua pihak termasuk pihak swasta seperti Petronas akan membantu PKS meneruskan perniagaan.

Menurutnya, pihaknya sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka kepada semua pemain industri dan bersedia membantu mereka termasuk pemain industri di Sabah dan Sarawak.

Mengikut rekod, nilai hasil jualan yang dicatatkan oleh pembekal PKS dalam kempen ini mencecah RM29.7 juta sepanjang Ogos sehingga Disember 2019 berbanding RM20.6 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Jumlah peningkatan nilai hasil jualan sepanjang kempen dijalankan meningkat sebanyak 44.48 peratus dengan membabitkan penyertaan sebanyak 320 pengusaha PKS tempatan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19