Statistik menunjukkan trend penurunan permintaan penumpang domestik dan antarabangsa mulai 1 Mac 2020.- Gambar fail/ Bernama

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan dijangka memerlukan masa antara 18 bulan bagi sektor domestik dan tiga tahun bagi sektor antarabangsa untuk pulih sepenuhnya daripada impak COVID-19.

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), sebagai persediaan kepada pembukaan sektor pengangkutan udara, kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (Februari 2020) telah bersetuju supaya Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) mengurangkan caj pendaratan dan parkir pesawat melalui mekanisme kontra.

Katanya berdasarkan saranan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020, lebih banyak kelonggaran diberikan termasuk kebenaran melakukan perjalanan rentas negeri dan pengecualian penjarakan sosial dalam pesawat bagi semua perkhidmatan penerbangan berjadual dan tidak berjadual.

"Kelonggaran ini telah meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan penerbangan udara bagi sektor domestik," katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang ingin tahu mengenai langkah-langkah kerajaan dalam memulihkan kembali industri penerbangan negara yang terjejas teruk berikutan COVID-19.

Katanya MOT, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta syarikat penerbangan terus bekerjasama bagi meningkatkan kesedaran dan keyakinan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan bagi menggerakkan dan memulihkan sektor pelancongan domestik.

"Bagi maksud menggerakkan sektor pelancongan antarabangsa, MOT mengalu-alukan usaha kerajaan dalam melaksanakan konsep 'travel bubble' ke beberapa negara seperti Singapura, Brunei, Thailand, Vietnam, New Zealand, Australia, Korea Selatan dan Jepun," katanya.

Melalui konsep tersebut, penerbangan dan penumpang dari mana-mana negara yang berada dalam kategori hijau akan dibenarkan memasuki Malaysia tertakluk kepada SOP tertentu seperti ujian saringan kesihatan yang ketat sebelum berlepas dan tiba di Malaysia.

"Cadangan 'travel bubble' tersebut tertakluk kepada rundingan yang sedang diadakan antara Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Luar Negeri dengan negara-negara terbabit dan bersifat timbal balik," katanya.

Sementara itu, statistik menunjukkan trend penurunan permintaan penumpang domestik dan antarabangsa mulai 1 Mac 2020.

"Jumlah permintaan penumpang berkurangan daripada 280,321 sehari pada Januari 2020 kepada 7,500 sehari bagi Mei 2020," katanya.

— BERNAMA