Kuala Lumpur: Kerajaan melancarkan Dana Penjana Nasional (Dana Penjana) bernilai RM1.2 bilion bagi menyokong pemulihan ekonomi dan meningkatkan lagi pertumbuhan negara pasca Covid-19 dengan memacu pasaran modal swasta.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dana yang akan dikendalikan Penjana Kapital Sdn Bhd (Penjana Kapital) akan mewujudkan pelaburan fund-of-funds bernilai RM600 juta dengan menarik pelaburan modal swasta asing.

Dana yang dikumpul akan dilaburkan dalam syarikat perniagaan inovatif Malaysia melalui program pelaburan padanan.

Beliau berkata, modal bagi dana berkenaan akan dikumpul menerusi penyertaan kerajaan dan syarikat modal teroka asing serta tempatan.

Tengku Zafrul menjelaskan, daripada RM1.2 bilion nilai dana itu, pembiayaan berjumlah RM600 juta akan disediakan oleh dana modal teroka asing dan tempatan, manakala kerajaan akan membuat padanan 1:1 selepas pendanaan dimuktamadkan.

Katanya, inisiatif kerajaan itu akan membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dengan membangunkan perniagaan Malaysia dalam sektor berimpak tinggi dan pada masa yang sama, memperkasakan syarikat menjangkaui batas inovasi.

“Saya yakin Dana Penjana akan memacu pembangunan pasaran modal swasta negara dengan memanfaatkan model usaha sama tempatan-asing untuk memudahkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi baharu.

“Ketika Malaysia beralih ke arah pembangunan ekonomi yang lebih maju dan berpendapatan tinggi dalam tempoh satu dekad akan datang, struktur ekonomi kita akan terus mengalami perubahan.

“Covid-19 sudah mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi baharu yang disandarkan kepada teknologi baharu dan inovasi yang berterusan.

“Justeru, Dana Penjana diperlukan untuk menarik pelaburan modal baharu ke dalam negara dan penyaluran dana ke dalam perniagaan tempatan yang memerlukan, lebih-lebih lagi, ketika kebanyakan perniagaan tempatan menghadapi kesukaran akibat wabak ini,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pelancaran Dana Penjana di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Asri Hamidon; dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Syed Zaid Albar.

Dana Penjana dibentuk hasil struktur kerjasama awam-swasta memiliki posisi yang baik untuk menarik pelaburan modal swasta asing ke dalam syarikat pemula niaga tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi program padanan modal.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Dana Penjana akan memperuntukkan dana untuk pelbagai peringkat kitaran hayat modal teroka bergantung sasaran tempoh matang syarikat pemula niaga

“Di peringkat Seed/Co-Creation adalah adalah berjumlah dari RM500,000 hingga RM5 juta manakala Series A/B iaitu di mana syarikat melepasi peringkat idea pula bermula RM5 juta hingga RM20 juta. Bagi peringkat Growth Stage iaitu mewakili peringkat pengembangan sesebuah syarikat, pelaburannya antara RM20 juta hingga RM50 juta,” katanya.

“Peringkat ‘Venture Debt’ pula akan menyediakan pembiayaan jangka pendek atau sederhana kepada syarikat dan pemula niaga pada peringkat ‘early’, ‘mid’ dan ‘late’ membabitkan dana antara RM1 juta hingga RM10 juta.

“Pelabur berminat boleh mengemukakan permohonan kepada Penjana Kapital bulan depan,” katanya.